Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kluster Individu Dalam Siasatan (PUI) Sivagangga terus bertambah agresif apabila lagi kes baharu dilaporkan di luar Kedah iaitu di Perlis dan Pulau Pinang.

Dalam perkembangan terbaharu jangkitan Covid-19, sebanyak 25 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes positif setakat ini adalah 9,063 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 25 kes itu 16 adalah di dalam negara membabitkan 15 warganegara dan seorang bukan warganegara manakala sembilan kes adalah import.

“Daripada jumlah 15 kes warganegara penularan dalam negara, kluster PUI Sivagangga mula bertambah agresif apabila melaporkan 12 kes baharu kluster PUI Sivagangga iaitu 10 kes buat pertama kali di Perlis, satu kes  di Pulau Pinang dan satu di Kedah.

“Tiga lagi kes membabitkan warganegara adalah dua di Perak melibatkan kes Influenza Like Illness (ILI) di klinik sentinel dan satu kes saringan bergejala di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Manakala satu kes bukan warganegara di dalam negara adalah saringan tahanan yang merupakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Johor ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noor Hisham, sembilan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan lapan warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara.

Katanya, daripada sembilan kes import itu, empat kes adalah di Sabah yang baru pulang dari Filipina, dua kes di Selangor yang masing-masing pulang dari Emiriah Arab Bersatu dan Turki, dua kes di Kuala Lumpur yang berjangkit di luar negara iaitu masing-masing dari Djibouti, Afrika Timur dna Australia dan satu kes di Sarawak yang baru pulang dari Yaman

Ujar beliau, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 210 kes yang mana mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Malah terdapat 15 kes yang telah pulih pada hari ini dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,728 kes (96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Sehingga kini, terdapat dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Namun untuk hari ini, tiada pertambahan kes kematian akibat Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” tegas beliau.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.