Naib Pengerusi PEMBELA (Kluster Ekonomi), Izzat Johari bercakap di sidang media mengenai isu operasi pusat maksiat dan pemberian lesen menjual arak di Pejabat Pertubuhan Muafakat, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 7 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu bertegas dengan mengharamkan kedai awam menjual minuman keras secara terbuka dan berleluasa.

Ini kerana, kedai awam itu dikunjungi oleh semua golongan usia, termasuk umat Islam untuk membeli minuman, makanan dan barangan keperluan.

Naik Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Kluster Ekonomi), Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, hasil tinjauan dan pemantauan pihaknya mendapati kedai awam berkenaan langsung tidak menghormati pengguna Islam apabila meletakkan botol arak sebaris dengan minuman halal.

“Kita ingatkan kerajaan, terutama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara, kalau boleh kuatkuasakan larangan atau mengharamkan kedai-kedai awam ini dari menjual arak secara terbuka.

“Kerajaan atau PBT ini boleh saja tarik balik lesen kedai awam yang jual arak secara berleluasa ini. Kalau nak jual juga, jual di kedai bukan Islam, yang tentunya umat Islam tidak akan masuk membeli di kedai seperti ini,” katanya pada sidang media mengenai isu operasi pusat maksiat dan pemberian lesen menjual arak di pejabat Pembela di Taman Melawati, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Nor Izzat, selain membantah, NGO Pembela itu juga meminta kerajaan mengenakan prosedur standard operasi (SOP) khusus penjualan arak dan langkah ini perlu dilakukan segera supaya mereka mempunyai rasa bertanggungjawab jika berlaku kejadian tidak diingini akibat mabuk.

Beliau turut mencadangkan kerajaan terutama PBT supaya mengenakan syarat kepada premis yang menjual arak iaitu hanya boleh dijual pada waktu siang iaitu tempoh kedai beroperasi.

“Hadkan waktu penjualan arak. Tidak boleh jual selepas waktu malam. Kebanyakan yang mabuk dan langgar orang tidak bersalah sehingga mati kerana mereka minum dan mabuk pada waktu malam.

“Dengan penguatkuasaan waktu operasi ini, biar mereka mabuk di rumah, mengamuk di rumah dan mati pun di rumah, tanpa mengganggu orang lain di luar sana.

“Kalau waktu membeli tidak ada had, mereka lebih memilih waktu malam untuk membeli dan minum dalam kereta sehingga akhirnya mabuk dan langar orang tidak bersalah di jalan raya.

Izzat juga meminta kerajaan mengumumkan elaun kebajikan kepada mangsa yang dilanggar oleh pemabuk tanpa bergantung kepada usaha NGO semata-mata dalam membela keluarga mangsa.

Katanya, kerajaan perlu memandang serius kejadian yang melibatkan kematian akibat pemabuk di bawah pengaruh alkohol. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast