Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua kawasan di Sanglang iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul akan terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (TEMCO) mulai jam 10 malam ini hingga 4 September depan.

Pelaksanaan TEMCO ini dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dengan mengambil kira bilangan kes aktif Covid-19 di kawasan berkenaan.

Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perlis berkenaan Covid-19 dalam satu kenyataan berkata, pengisytiharan ini dibuat bagi membolehkan aktiviti pengesanan yang telah dimulakan oleh Jabatan
Kesihatan Negeri Perlis sejak semalam dilaksanakan dengan lebih berkesan di kedua-dua kampung terbabit.

Sehubungan itu, penduduk di kawasan TEMCO dipohon supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa kerana pelaksanaan TEMCO akan menggunapakai prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedia ada dengan tambahan kepada pelaksanaan Sekatan Jalan Raya (SJR) di setiap laluan keluar masuk ke kawasan TEMCO.

Orang awam yang berada di luar kawasan TEMCO tidak dibenarkan masuk kecuali mereka yang terlibat dengan memberikan perkhidmatan perlu sahaja.

Penduduk di kedua-dua kampung dipohon supaya mematuhi arahan kuarantin di rumah yang telah dikeluarkan kepada penduduk setelah menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Sanglang.

Tambahnya, sepanjang tempoh arahan kuarantin di rumah, Ketua Isi Rumah adalah dibenarkan untuk keluar dari rumah bagi membeli barang keperluan harian sementara menunggu seluruh ahli isi rumah memperolehi arahan pelepasan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Arahan pelepasan akan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri selepas keputusan ujian saringan Covid-19 didapati negatif.

Keputusan ujian saringan akan diperolehi tidak melebihi empat hari daripada tarikh
ujian saringan dilaksanakan. – MalaysiaGazette