Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya. foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) hari ini, meluluskan 20 tuntutan yang dicapai secara konsesus antara 50 gabungan NGO untuk perhatian dan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Pengerusinya, Aminuddin Yahaya, tuntutan itu akan diserahkan Pembela kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tempoh terdekat ini, untuk dimasukkan dalam agenda mesyuarat kerajaan.

Kata beliau, antara tuntutan itu ialah mendesak kerajaan meneruskan dan bertindak adil dalam kes berprofil tinggi seperti kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim serta kes 12 rakyat Malaysia yang didakwa terbabit dalam aktiviti berkaitan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang digugurkan oleh Peguam Negara sebelum ini.

“Kita juga menuntut kerajaan memartabatkan ekonomi orang Melayu, yang mana jurangnya paling tercorot berbanding kaum Cina. Ini bahaya kepada kaum Melayu.

“Oleh itu, kita minta kerajaan menyokong kempen Buy Muslim First (BMF) dengan menyediakan peruntukan untuk membantu lebih ramai usahawan Melayu menerusi agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Sekarang ini, terdapat kira-kira 100,000 usahawan Melayu yang menjalankan perniagaan pada skala kecil dan sederhana, yang pastinya memerlukan bantuan dari kerajaan,” katanya pada sidang media Tuntutan NGO Pembela kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Kira-kira 60 pemimpin yang mewakili 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bawah gabungan Pembela hadir.

Antara tuntutan lain ialah, meminta kerajaan menaiktaraf Mahkamah Syariah supaya selari dengan mahkamah sivil, mewujudkan satu kementerian baharu khusus untuk menjaga tanah rizab Melayu dan hak pribumi, mengatasi isu kerakyatan atau kewarganegaraan dan mendesak kerajaan memansuhkan sekolah vernakular, sebaliknya mewujudkan sekolah satu aliran.

Menurut Aminuddin, Pembela juga menuntut kerajaan mewujudkan muzium sejarah orang Melayu di Bangunan Sultan Abdul Samad, yang difahamkan terdapat ruang kosong di bangunan itu dan sesuai dijadikan muzium.

Beliau juga meminta kerajaan mengaktifkan semula projek Gerakan Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH) yang dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Ops BAH itu berfungsi sebagai satu badan di bawah kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan Gerakan membanteras pusat maksiat.

“Gerakan ini telah berjaya menyatukan puluhan agensi kerajaan, tetapi telah dihentikan oleh kerajaan PH. Penting Ops BAH ini dihidupkan semula bagi menangani gejala sosial dan jenayah di ibu kota.

“Kita juga cadangkan kerajaan menubuhkan Pusat Latihan Penguatkuasa bagi membanteras pusat maksiat,” katanya.

Beliau berharap, tuntutan itu mendapat perhatian serius kerajaan PN bagi mengimbangi pentadbiran negara supaya lebih stabil dan berintegrasi. – MalaysiaGazette