Kerosakan yang berlaku di pelabuhan Lubnan selepas letupan besar berpunca dari sebuah gudang yang menyimpan ammonia nitrat. foto Agensi

KUALA LUMPUR – Malaysia menghulurkan bantuan kemanusian sebanyak RM1 juta kepada rakyat Lubnan susulan tragedi letupan di Pelabuhan Beirut pada Selasa lalu.

Sumbangan itu disalurkan menerusi Pertubuhan Palang Merah Lubnan (LRC).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya berkata, Malaysia yakin dan percaya rakyat Lubnan mampu mengatasi impak tragedi dan meneruskan kehidupan dengan kekuatan semangat dan perpaduan.

“Kami berkongsi kesedihan dan penderitaan dengan saudara kami di Lubnan.

“Kerajaan dan rakyat Malaysia menghulurkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang.

“Kepada yang tercedera, kami mendoakan agar mereka cepat sembuh,” ujarnya.

Tragedi itu telah meragut 130 nyawa dan lebih 5,000 orang cedera, selain kerosakan teruk ibu kota tersebut.

Letupan dahsyat yang berlaku pada Selasa itu berpunca daripada nyalaan api yang membakar 2,750 tan gas ammonium nitrat yang disimpan dalam gudang di pelabuhan berkenaan sejak enam lalu.  – MalaysiaGazette