JACK Lee (empat dari kiri) bersama-sama Pengasas Bersama Whale Media Austin Kong, Ketua Pegawai Kewangan OMC Group Jack Tan, TC Tang, Pengarah Urusan OMC Group, Albert Khor, Ketua Pegawai Operasi OMC Group Daniel Lee dan Ketua Pegawai Teknologi OMC Group Sylvester Lee.

PETALING JAYA –  OMC Group Sdn Bhd (OMC Group) sayap blockchain dan subsidiari AIO Synergy Holdings Berhad memperkenalkan blockchain permainan berasaskan token digital yang boleh didagangkan iaitu Omni Pets.

Omni Pets merupakan ‘haiwan peliharaan’ yang perlu dijaga dan dibimbing kerana apabila ia menetas nilai dagangan haiwan ini akan meningkat jika mereka ‘gembira’ dan ‘puas’.

Ketua Pegawai Eksekutif OMC Group Datuk Jack Lee berkata, Omni Pets adalah token digital dicipta menggunakan standard terbuka ERC-721 berdasarkan kepada protokol Ethereum dan tidak boleh dikongsi dengan orang lain.

“Permainan block chain ini hanya menawarkan 200 token digital setiap minggu iaitu dalam bentuk telur serta haiwan dan kesemua token adalah unik dan tidak seperti standard ERC-20 yang digunakan untuk mencipta mata wang kripto,’’ katanya di majlis pelancaran Omni Pets Blockchain di sini hari ini.

Ekosistem ‘digital pets’ itu dikendalikan di atas OMChain2.0, sebuah konsortium blockchain yang hanya membenarkan peserta yang diberi kebenaran dan terjamin keselamatan serta platform dipacu prestasi.

Pemilik haiwan peliharaan digital juga akan berlajar bagaimana blockchain berfungsi daripada peringkat pemilikan hinggalah berdagang kerana kontrak bistari OMChain2.0 sememangnya biasa digunakan bagi memudah cara transaksi seumpamanya.

Menurut Lee, haiwan peliharaan ini boleh dibeli dengan mata wang di dalam permainan dikenali sebagai ‘wang emas’ yang bernilai AS$1 satu syiling emas. Mata wang ini boleh dibeli dengan bitcoin, Ether, US Dollar Tether dan OMCoin.

“Di luar Omni Pets, penggunaan ERC-721 boleh digunakan untuk membayar secara token aset-aset lain, seperti koleksi karya seni, hartanah dan barang perhiasan. Kami juga percaya bahawa teknologi blockchain akan membolehkan suatu bentuk pemilikan yang diyakini ke atas aset digital dan kami mengorak langkah ke arah itu bersama Omni Pets”, katanya. – MalaysiaGazette