Dr. Ibrahim (duduk, tujuh dari kiri) bersama barisan kepimpinan Putra Johor.

KUALA LUMPUR – Ketika Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sibuk melompat dari Pakatan Harapan (PH) ke Perikatan Nasional (PN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pula sibuk menyusun atur jentera sebagai persiapan menghadapi PRU-15.

Dalam lawatan sehari ke Johor hari ini, Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali memberitahu kepada kepimpinan perhubungan negeri itu, Putra kekal menjadi parti “third force” dalam politik Malaysia.

“Dalam perjumpaan dengan kepimpinan Putra di Kulai, saya menegaskan dari awal bahawa parti ini akan menjadi “third force” dan tidak akan bersama dengan PN, Muafakat Nasional (MN) mahupun PH.

“Putra wadah Melayu, pribumi tulen yang akan menjadi pilihan kepada parti politik sedia ada. Kita mahu pastikan tidak akan berlaku lagi menang sorak kampung tergadai,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, dalam lawatan itu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan pimpinan perhubungan Putra Johor di Dewan Semai Bakti, Felda Bukit Batu, Kulai

Kata Dr. Ibrahim, Putra negeri itu kini sedang bangkit bergerak semula dengan aktif selepas  tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.

“Johor mempunyai 26 bahagian Parlimen dan setakat ini sudah lulus 22 bahagian Putra. Namun yang benar-benar struktur dan aktif hanya lapan bahagian.

“Bahagian lain masih perlu menubuhkan sayap, cawangan dan menambahkan keahlian,” katanya.

Katanya, dalam perjumpaan itu, beliau memutuskan enam kerusi Parlimen di Johor akan menjadi sasaran Putra untuk meletakkan calon bertanding PRU15 ini.

“Dari enam kerusi, Parlimen Ayer Hitam kawasan utama yang kita pasti akan bertanding. Calon juga sudah dikenal pasti, manakala lima kawasan dalam penelitian.

“Putra Johor juga sedang meneliti beberapa kawasan DUN. Ramai tokoh layak, tetapi kita hanya akan letak calon di kawasan yang mempunyai harapan 50-50 untuk menang,” katanya.

Dr. Ibrahim berkata, dalam perjumpaan itu, beliau turut mengumumkan pelantikan tambahan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra dari Johor, iaitu Dr. Kamari Kasan yang juga Ketua penaja Bahagian Pasir Gudang dan seorang aktivis sosial dalam Pendidikan Sepanjang Hayat. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. PUTRA….!!!…..Parti Baharu Atok…!!!!…Nak brp banyak parti politik berteras Melayu ni??? Hanya menuju pecah-belah yg sedia terpecah. Jadi bahan ketawa kaum lain shaja. Asasnya GILAKAN KUASA..RM…KEPENTINGAN PERIBADI & JUAK2 MASING2. Nama kepentingan RAKYAT dipergunakan. Macam dah tak ingat MATI dan kehidupan selepasnya di alam Barzaqh. Semoga ALLAH memberi Petunjuk kpd saudara2 SeIslam semua.

Comments are closed.