Ketua Bahagian Bandar Tun Razak Mohd Shahni Ismail foto MOHD ADZLAN, 1 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Krisis politik dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kadang-kadang surut, kadang-kadang bergolak terus mewarnai arena politik negara.

Terbaharu, bekas Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti baharu selepas keahlian beliau bersama empat lagi digugurkan.

Susulan itu, kecoh ‘cerita’ segelintir pimpinan serta ahli termasuk akar umbi Bersatu keluar parti.

Bagaimanapun, semua itu langsung tidak mencacatkan mahupun melunturkan semangat Ketua Bahagian Bersatu Bandar Tun Razak, Mohd Shahni Ismail untuk bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan parti pada 22 Ogos ini.

Ketika MalaysiaGazette menemuramah beliau pada program Ibadah Qurban Perdana Bandar Tun Razak baru-baru ini, beliau yang mesra dengan panggilan ‘Haji’ atau ‘Ayah’ kelihatan begitu teruja.

Kata Mohd Shahni, dunia politik sebenarnya bukanlah asing buat dirinya sudah lama berkecimpung sejak 1986 lagi dengan menjadi Exco Pemuda UMNO, malah mengakui beliau adalah anak didik Dr Mahathir.

Mohd Shahni Ismail

“Pastinya ada jatuh bangun di situ, sudah tentu akan kekecewaan, putus asa dan pelbagai lagi emosi sepanjang perjalanan politik ini. Antara sebab mengapa saya masuk politik walaupun kebanyakan masanya menggunakan wang sendiri, kerana saya dapat membantu masyarakat.

“Kita turun padang, kita nampak segala macam isu. Ini bukanlah retorik atau seperti saya sedang menjaja cerita supaya dapat menang pemilihan, orang yang tidak nampak mereka boleh cakap apa sahaja.

“Hanya apabila kita mempunyai semangat dan juga perasaan belas terhadap rakyat kita, masyarakat kita, pastinya ini juga sebenarnya satu dorongan yang buat saya terus aktif berpolitik sehingga kini.

“Bila tidak ada apa-apa jawatan sekalipun, orang cari saya terutamanya yang susah dengan harapan saya dapat bantu selesaikan isu mereka, kadang-kadang bukanlah semuanya berkaitan dengan wang ringgit banyak lagi yang menyelubungi mereka,” katanya membuka cerita.

Kata Mohd Shahni, beliau antara yang awal menyertai Bersatu dan memiliki nombor keahlian 395 tetapi tidak terus diberikan jawatan, ganjaran mahupun kedudukan.

Sebaliknya kata Mohd Shahni, beliau berpegang kuat kepada prinsip utama perjuangan Bersatu dengan mengutamakan pengorbanan dan bukannya mengejar sesuatu untuk kepentingan peribadi.

“Saya umum untuk bertanding kali ini kerana dua sebab, satu tentunya perjuangan asal saya untuk terus berjuang dan melakukan transformasi lebih drastik terhadap golongan B40 dan yang sangat memerlukan.

“Kedua, saya hendak membantu dengan segala kudrat serta pengalaman berpuluh tahun ini mengukuhkan parti di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini. Ramai di luar sana terus berteka teki tentang hala tuju parti tapi pada saya, ianya sangat utuh dan kuat.

“Parti ini mempunyai masa depan serta asas perjuangan yang hakikatnya menjadikan negara akan lebih makmur membangun dan ianya akan beri nikmat kepada kita semua.

“Walaupun mentor saya adalah Dr Mahathir tetapi ketika ini janji setia saya lebih kepada parti, saya percaya kepada perjuangan parti dan pastinya kini Muhyiddin adalah Presiden kami.

“Melalui pemilihan ini juga, kita akan mendapat barisan kepimpinan yang kuat, stabil dan cukup berpengalaman untuk terus mengemudinya sehingga akhir, kerana itulah saya bertanding.

“Bukan ayat bunga-bunga, tetapi inilah realitinya. Ini bukan untuk survival sebagai individu sebaliknya masyarakat di luar sana terutamanya di kawasan saya sendiri, Bandar Tun Razak itu sendiri.

“Dengan jawatan, suara saya juga akan lebih gah kedengaran,” ujarnya panjang lebar.

Ketika ditanya adakah beliau gentar lagi-lagi untuk jawatan nombor tiga parti ini, ramai juga yang ‘heavyweight’ akan bertanding.

Selain Mohd Shahni terdapat 16 lagi calon bertanding antaranya termasuklah Ketua Penerangan merangkap Ketua Bahagian Bersatu Ketereh juga Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin, Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Juga Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

“Tidak takut. Ini adalah pertandingan pastinya ada kalah menang. Bagi saya, saya ada penyokong serta kumpulan yang amat mempercayai saya serta amanat yang diberikan selama ini.

“Jadinya tidak timbul apa-apa isu seperti itu. Jika gentar, tidak boleh berpolitik lagi-lagi jika anda mengutamakan perjuangan serta keperluan parti dan rakyat jadinya tidak perlu risau, mereka di luar sana tahu, akar umbi juga sedia maklum,” ujarnya sambil tersenyum.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan pemilihan itu, beliau berkata, setakat ini segala persiapan untuk proses pemilihan yang dikendalikan oleh jawatankuasa pemilihan parti (JPP) diketuai Tan Sri Hamid Albar tersusun rapi dan berharap ia dapat dilaksanakan dengan baik.

“Semoga kepimpinan baharu yang akan dilantik akan terus dapat mengukuhkan parti dan memastikan Bersatu terus berkembang dan mendapat sokongan dan dukungan rakyat,” katanya lagi.

Sebelum ini Muhyiddin secara tidak rasmi menang tanpa bertanding bagi mengekalkan jawatan Presiden Bersatu, selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan itu pada pemilihan parti itu bulan depan.

Turut menang tanpa bertanding Timbalan Presiden adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga menjadi calon tunggal jawatan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast