Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menambah peruntukan sumber manusia bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 20 peratus dalam usaha kementerian itu memerangi kemelut wabak Covid-19 yang berpanjangan.

Menerusi kenyataan bersama, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata, peruntukan untuk kesihatan awam dan juga pegawai-pegawai KKM yang relevan wajar ditambah seperti yang disebut di dalam Belanjawan 2020 iaitu peruntukan sebanyak RM5.66 bilion dari peruntukan keseluruhan operasi KKM yang kini mencecah sebanyak RM27.9 bilion.

“Ikhtiar kita dalam memperkukuh tahap kesihatan awam akan membolehkan kita untuk menghindarkan negara dan rakyat dari wabak-wabak, juga sebagai langkah awal bila mana kes-kes dikesan.

“Meski terdapat peningkatan dalam penggunaan teknologi digital dalam mengesan, kita juga harus sedar bahawa pendekatan ini jauh terkebelakang ketimbang pasukan yang diperuntukkan untuk pengesanan kontak di mana mereka mampu untuk memberi nasihat kepada masyarakat secara umum dan juga pada perusahaan dan perniagaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pendekatan dalam menguji mesti dijalankan dan pada masa sekarang hanya ada keupayaan tambahan dalam menguji.

Jelas kenyaatan itu, KKM harus memanfaatkannya untuk ujian sentinel (kawalan), terutama kelompok masyarakat yang berisiko tinggi seperti di pusat-pusat penjagaan warga emas, penjara dan industri kolar biru.

“Covid-19 bukan satu-satunya penyakit berjangkit yang sedang merundung negara. Penyakit seperti Tuberculosis atau TB menjangkiti lebih 20,000 warga setiap tahun dan demam denggi terus terusan menjadi masalah dengan menjangkiti lebih 130,000 warga pada tahun 2019.Virus-virus yang mengesankan paru-paru juga berkemungkinan akan menjadi ancaman di masa hadapan,” ujar kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia mempunyai tahap penyakit tidak berjangkit yang tinggi dengan kira-kira 8.1 peratus daripada warga dewasa (1.7 juta) mempunyai ketiga-tiga risiko penyakit diabetes, darah tinggi dan kolestrol yang tinggi.

“Kami menggesa kerajaan agar dana yang diperuntukkan dalam mengukuhkan tahap kesihatan awam dilihat sebagai pelaburan, dan bukan semata-mata kos.

“Kami berpendapat hanya dengan meningkatkan tahap pelindungan dan kesihatan kepada rakyat, kita akan mampu menangani cabaran dan tantangan kesihatan dan ekonomi yang sedang mengesankan negara,” katanya. – MalaysiaGazette