Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Sebanyak 11 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 9,094 kes, lapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif kini dengan kebolehjangkitan adalah 166 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau memberitahu, daripada 11 kes baharu yang dilaporkan, lima kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan semua warganegara Malaysia.

“Lima kes import tersebut adalah dari Australia iaitu tiga kes di Selangor; Jepun pula satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Singapura juga satu kes di Johor.

“Daripada enam kes penularan di dalam negara, lima kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan di tempat kerja di Selangor.

“Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor,” katanya pada sidang media di KKM hari ini.

Noor Hisham menambah, kes penularan Covid-19 dalam negara dalam kalangan warganegara Malaysia adalah di Johor melibat satu kes saringan pra pembedahan di sebuah pusat perubatan swasta.

Katanya, mangsa telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom manakala di Perak, sebanyak tiga kes daripada Kluster Kurau.

Jelas beliau, ia melibatkan satu kes saringan kemasukan ke wad di sebuah pusat perubatan swasta dan mangsa tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Melaka.

“Sehingga kini, terdapat satu kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid- 19 di Malaysia adalah kekal adalah sebanyak 125 kes iaitu 1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Noor Hisham memberitahu, terdapat 19 kes yang telah pulih Covid-19 pada hari ini dan kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,803 kes iaitu 96.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast