Gelagat seorang kanak-kanak bermain kawasan kediamannya yang dipasang kawat besi berikutan Perintah Kawalan secara Pentadbiran bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di Taman Langat Murni, Kuala Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 03 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Dalam situasi tinjauan ekonomi global dan tempatan yang kian mencabar terutamanya disebabkan oleh pandemik COVID-19, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku kedua tahun ini yang akan diumumkan Bank Negara Malaysia Jumaat ini, dijangka menguncup dengan ketara.

Malah, ada yang mengunjurkan sehingga 13 peratus penguncupan daripada tahun dan suku sebelumnya selepas mengambilkira kemerosotan mendadak tahun ke tahun dalam pengeluaran perindustrian pada bulan April dan Mei berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malaysia mencatatkan pertumbuhan 0.7 peratus pada suku pertama, merosot daripada 3.6 peratus yang direkodkan pada suku keempat 2019.

Bagi ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Izuan Ahmad, beliau menjangkakan penguncupan satu digit yang tinggi untuk suku kedua disebabkan oleh penggunaan persendirian yang lemah memandangkan sentimen pengguna terjejas teruk oleh pandemik dan PKP.

Pelaksanaan PKP telah mengurangkan perbelanjaan pengguna dengan kadar pengangguran melonjak kepada 5.0 dan 5.3 peratus pada April dan Mei manakala pelaburan awam dan swasta merosot kerana permintaan yang rendah.

Prestasi perdagangan luar juga tidak terkecuali, dengan jumlah eksport, import dan perdagangan pada bulan April dan Mei merosot sehingga menjuruskan kepada defisit perdagangan sebanyak RM3.5 bilion pada April, iaitu defisit bulanan pertama dicatatkan dalam tempoh 22 tahun.

Izuan berkata penggunaan awam dilihat sebagai satu-satunya faktor penyumbang yang mana kerajaan telah mengumumkan pakej rangsangan bernilai sehingga RM295 bilion.

Sementara itu, ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ekonomi dijangka merekodkan penyusutan 7.0 peratus pada suku kedua.

Beliau berkata impak daripada PKP akan menjadi pemacu utama kepada kejutan permintaan dan penawaran memandangkan ekonomi telah hampir terhenti.

“Pergerakan manusia sememangnya sangat terhad sementara hanya segelintir industri sahaja dibenarkan beroperasi. Kesannya sangat ketara pada April kerana PKP berada pada tahap penuh,” kata beliau.

Sebagai contoh, beliau berkata jumlah industri total (TIV) untuk industri automotif Malaysia turun mendadak kepada 141 unit, paras rendah sepanjang masa pada April sebelum melantun kembali pada Mei dan semakin meningkat pada Jun.

Bagaimanapun, tahap penguncupan KDNK dapat diminimumkan apabila PKP bersyarat dan PKP pemulihan dilaksanakan pada Mei dan Jun.

“Oleh yang demikian, KDNK boleh mencecah paras terendahnya pada Jun dan ekonomi seharusnya telah berada dalam mod pemulihan pada suku ketiga dan keempat sekiranya pembukaan semula ekonomi terus berlaku.

“Dasar fiskal dan monetari yang meluas telah menjadi pemangkin utama untuk melancarkan ekonomi apabila ia dibuka semula,” kata beliau.

Dalam pada itu, Bank Islam mengekalkan unjuran KDNK 2020nya pada -1.5 peratus.

Menjelang pengumuman KDNK suku kedua oleh Bank Negara Jumaat ini, Affin Hwang Investment Bank Bhd pula berkata pertumbuhan KDNK sebenar negara akan merosot dengan ketara sebanyak 10.5 peratus berbanding suku yang sama tahun 2019.

Dalam nota penyelidikannya, ia berkata kesan negatif penuh pelaksanaan PKP akan dilihat pada angka yang akan diiumum, berikutan penguncupan besar IPI pada bulan April dan Mei.

Sementara itu, ahli-ahli ekonomi AmBank (M) Bhd menyatakan anggaran awal mereka yang menunjukkan penyusutan antara 10 dan 13 peratus bagi suku kedua.

Ia turut memaklumkan suku dua dijangka melaporkan penguncupan paling teruk selepas pertumbuhan 0.7 peratus pada suku pertama 2020.

RHB Research turut memberikan pendapat yang sama.

Bagaimanapun, ia berkata pengeluaran akan meningkat semula pada suku ketiga apabila permintaan kembali seperti biasa dan ini boleh menjuruskan kepada prestasi KDNK yang lebih baik.

Setakat ini, ia mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK pada -4.0 peratus tahun ke tahun untuk tahun 2020. – MalaysiaGazette