Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Kurau di Perak tidak mencatatkan kes baharu hari ini menyaksikan kes positif Covid-19 kekal dengan jumlah lima individu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini, seramai 180 orang telah disaring dari negeri itu dan Pulau Pinang.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, seramai 123 individu adalah negatif dan 52 individu masih menunggu keputusan.

“Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kedua-dua kluster ini. Situasi terkini juga akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham menambah, Kluster PUI Sivagangga turut tidak mencatat kes baharu dengan jumlah kes positif Covid-19 kekal dengan 45 individu.

Jelasnya, seramai 5,645 orang telah disaring antaranya  Kedah seramai 4,154 orang disaring, Perlis (1,223 orang) dan Pulau Pinang (268 orang). – MalaysiaGazette