Ashraf Rosli

KULA LUMPUR – Jangan lengahkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelbagai isu yang berkaitan dengan Tabung Haji (TH).

Peringatan itu disuarakan Pergerakan Wira Putra Malaysia, yang menyifatkan RCI penting ditubuhkan segera bukan lagi sebagai cadangan.

Tegas anggota Exconya, Ashraf Rosli, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri seboleh cuba mengelakkan diri dari bermain politik.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Ekonomi Wira Putra Malaysia berkata, dengan adanya RCI, dapat membela aset hak milik umat Islam yang telah dijual oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika mengambil alih pemerintahan pada 2018.

“Kita mahu mereka yang bertanggungjawab, jika didapati wujud penyalahgunaan kuasa, diheret ke muka pengadilan.

“Menteri (Dr. Zulkifli) adalah seorang agamawan yang sepatutnya tidak berpolitik dan bawa segala yang tidak menguntungkan kepada umat Islam ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan menteri berkenaan yang dilaporkan berkata, kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan dan kewajaran menubuhkan RCI berhubung pelbagai isu yang dikaitkan dengan TH.

Dr. Zulkifli ketika menjelaskan perkara itu, mengakui suatu badan bebas dan berkuasa harus diwujudkan untuk meneliti serta menilai transaksi TH.

Jelas Ashraf, jika menteri membiarkan proses penubuhan itu begitu lama, kemungkinan usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mendapatkan semula aset itu tidak tercapai kerana telah melanggar syarat yang termaktub dalam kontrak jual beli dengan pembeli.

Oleh itu, katanya, wajar RCI ditubuhkan sesegera mungkin bagi memastikan tempoh perjanjian jual beli belum matang dan wujud persefahaman antara kerajaan dengan syarikat yang telah membeli aset itu. – MalaysiaGazette