Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar bercakap kepada media selepas membuat laporan berhubung salahguna kuasa dan fitnah ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Balai Polis Sri Petaling, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 12 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar hari ini membuat laporan polis selepas mendakwa nyawanya terancam termasuk menerima ugutan bunuh selepas membuat laporan salah guna kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 5 Ogos lalu.

Zulkarnain mendakwa  menerima tekanan daripada pihak tertentu supaya menarik balik laporan salah guna kuasa ke atas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lalu.

“Saya konsisten dengan laporan kami yang pertama ke SPRM walaupun wujud tekanan-tekanan tertentu yang mendesak kami menarik balik dan sebagainya ugutan mencederakan waimah ugutan bunuh kami terima.

“Saya konsisten Wallahi Wabillahi Watallahi saya konsisten akan lawan perkara ini.

“Laporan ini kami buat sebagai satu lanjutan kepada laporan saya yang pertama di SPRM.

“Kami berharap laporan kami sebelum ini di SPRM dan hari ini di Balai Polis Sri Petaling, supaya undang-undang dapat dikedepankan,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Balai Polis Sri Petaling, hari ini.

Sebelum ini, Zulkarnain membuat laporan salah guna kuasa dan salah laku rasuah terhadap Yang Dipertua Sabah itu kerana didakwa menerima imbuhan tertentu untuk membubarkan DUN Sabah.

Menurut Zulkarnain, Juhar telah membuat pertimbangan salah dengan menerima nasihat daripada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk membubarkan DUN Sabah, sedangkan Ketua Menteri Sabah itu telah kehilangan majoriti.

Sebelum ini juga, Musa Aman bersama 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang menyokongnya dihalang ke Istana Negeri selepas laluan ke Istana di Bulatan Nanas, Kota Kinabalu ditutup pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Zulkarnain akan menyerahkan salinan laporan polis itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat.

“Saya akan hantar juga satu salinan kepada Suhakam dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

“Saya merasakan mereka perlu tahu sebagai NGO, kami berhak menceritakan perkara sebenar pada pandangan kami ada sesuatu yang tidak kena sedangkan apa yang berlaku di Sabah ketika ini,” jelasnya.

Zulkarnain juga mempertahankan tindakannya membuat laporan kepada SPRM minggu lalu di mana beliau tidak menuduh YDP Sabah itu sebaliknya mahu SPRM menyiasat keraguan yang timbul apabila DUN Sabah di bubar tanpa menemui 33 ADUN yang menyokong Musa.

“Kita minta SPRM menyiasat ada tak salah laku, saya merayu, saya meminta, boleh rujuk transkrip ucapan saya depan SPRM.

“Saya bukan menuduh, saya minta SPRM menyiasat sebagai orang tengah pada pandangan mata kami terdapat salah laku di sini.

“Kesemua 33 surat Akuan Bersumpah (SD) dinafikan haknya mereka dan Istana Negeri buat kenyataan akhbar bahawa mereka tidak menerima apa-apa SD daripada Musa,” katanya.

Beliau juga menegaskan, pihak Istana Negeri tidak sepatutnya mengamalkan sikap berat sebelah dan menyokong mana-mana pemimpin politik apabila membuat pertimbangan sama ada menukar kerajaan ataupun membubarkan dewan.

“Bukankah seorang Tuan Yang Terutama (TYT) ini dia tak boleh berpihak dan bias? Salahkan kami sebagai aktivis? Di manakah kesalahan yang kami buat?

“Kami cuma minta keadilan ditegakkan, janganlah berpihak.. Kenapa tidak mencontohi apa yang dilakukan oleh Agong.

“Agong telah berjumpa dengan 222 ahli Parlimen baru Tuanku buat keputusan sama ada nak membubarkan atau sebaliknya.

“Ini tidak berlaku (di Sabah) sedangkan 33 ADUN ini mempunyai hak dan sepatutnya suara mereka didengar tapi pembubaran telah dibuat tanpa berjumpa dengan 33 orang,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal apabila laporan kepada SPRM disalahtafsirkan hingga menuduhnya menghina pihak Istana Negeri.

“Laporan polis telah dibuat ke atas saya dan saya telah ditekan oleh pihak polis kononnya saya telah menghina (TYT) sedangkan sebagai aktivitis, saya dilindungi.

“Perlembagaan negara telah melindungi saya, saya boleh bersuara, di mana kesalahan saya di sini.

“Saya ingin sampaikan mesej ini kepada Shafie Apdal…Wallahi Wabillahi Watallahi saya sedikit pun tidak gentar

“Allah bersama-sama saya, saya yakin, tekanlah saya, saya bukan baru sebagai aktivis, saya dituduh jadi suruhan politik macam-macam tuduhan dilemparkan kepada saya

“Saya juga bekas orang reformasi yang terlatih, saya bukan orang suruhan politik meskipun kita ada ideologi politik masing-masing, tapi tindakan-tindakan saya buat itu selalu berdasarkan keadilan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.