Pemilik Perniagaan Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid bercakap pada sidang media selepas meninjau lokasi perjudian haram yang berlaku di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 10 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak dua kertas siasatan telah dibuka Bukit Aman ke atas dua rakaman video yang membabitkan wawancara Mohd Asri Hamid atau dikenali Asri Janggut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, dua rakaman video itu berkenaan ialah wawancara di Facebook Sinar Harian yang bertajuk Isu Judi: Fitnah atau Realiti yang berdurasi sejam 14 minit dan wawancara bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia(PPIM) yang berdurasi 50 minit 53 saat.

Kata Huzir, dipercayai Mohd Asri yang merupakan pengusaha Hot Burger Malaysia dipercayai mengeluarkan kenyataan bersifat jelik dan menghina terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia(ATM) dalam video yang disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) itu.

“Siasatan ini telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 505(b) dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Huzir lagi, kesemua saksi-saksi lain yang telah dikenalpasti dalam kes itu akan dipanggil dalam tempoh terdekat untuk dirakam keterangan.

Menurutnya, individu yang diwawancara, penganjur wacana atau wawancara serta penghasilan video-video berkenaan juga akan dipanggil dalam tempoh terdekat untuk dirakam keterangan.

“Tindakan yang dilaksanakan itu adalah berlandaskan undang-undang dan tiada individu atau entiti yang akan terlepas daripada sebarang tindakan jika jelas mencabuli undang-undang yang berkuatkuasa di negara.

“PDRM juga menggesa orang ramai agar tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita yang mempunyai kecenderungan mencetuskan suasana tidak harmoni, pepecahan, perasaan permusuhan dan boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. ingatkan mula dengan langkah kanan. rupanya silap langkah terpelicit kedalam longkang. inilah balasan tunai apabila buat kerja tidak ikhlas. sebesar mana riak takbur menjelma. sebesar itulah balasan diterima.

Comments are closed.