Pelancong yang didapati negatif dalam ujian saringan Covid-19 dibenarkan memasuki Greece. foto Agensi

ATHENS – Greece melaporkan tambahan 262 kes jangkitan Covid-19, angka tertinggi harian sejak koronavirus menular di negara ini.

Dengan ini, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Greece adalah sebanyak 6,177 dengan 216 kematian.

Daripada kes terbaharu itu, 85 kes dikesan di bandar Thessaloniki dan 66 lagi di Athens.

Peningkatan kes jangkitan itu mendorong pihak berkuasa untuk mengenakan peraturan lebih ketat semasa musim kemuncak melancong.

Bermula 17 Ogos lalu, pelancong yang tiba dari Sweden, Belgium, Sepanyol, Belanda dan Republik Czech perlu membuktikan ujian saringan koronavirus negatif untuk mendapatkan kebenaran masuk.

Keputusan ujian tersebut tidak boleh melebihi 72 jam.

Syarat yang sama juga terpakai kepada semua pelancong yang memasuki Greece melalui sempadan.

Peraturan itu telah ditetapkan kepada pelancong yang transit dari Bulgaria, Romania, Malta dan Emiriah Arab Bersatu.

Pihak berkuasa penerbangan awam pada hari Rabu melarang penerbangan dari Turki hingga 31 Ogos ini dan menguatkuasakan penerbangan dari Albania dan utara Macedonia ke lapangan terbang Athens sahaja. – MAlaysiaGazette