Ismail Sabri Yaakob government corruption MACC
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 104 individu yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, sudah ditempatkan di Stesen Kuarantin.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, punca masalah itu berlaku disebabkan pesawat yang membawa mereka tidak tersenarai dalam jadual asal penerbangan.

Katanya, pihak urusetia telah mengambil langkah segera sebaik mendapat tahu masalah itu dan menghantar mereka yang terjejas ke Stesen Kuarantin, iaitu hotel, termasuk turut menyediakan makanan dan minuman.

Ismail Sabri Yaakob

“Memang semalam terdapat sekumpulan individu yang terkandas di KLIA kerana tidak dihantar ke Stesen Kuarantin dalam durasi masa yang ditetapkan.

“Setelah diteliti, daripada 13 penerbangan yang mendarat di KLIA, terdapat satu pesawat yang tiada dalam jadual asal, telah mendarat di KLIA dan membawa 104 penumpang.

“Oleh itu, penghantaran kumpulan ini ke Stesen Kuarantin tergendala seketika kerana menunggu persiapan hotel untuk menerima bilangan individu yang besar,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pihak urusetia telah mengambil tindakan segera untuk menghantar mereka yang terjejas dalam kumpulan kecil ke hotel lain yang sedia ada.

Pihak urusetia juga katanya, telah memastikan makanan ringan dan minuman disediakan sepanjang proses tersebut.

“Kumpulan terakhir ditempatkan di Stesen Kuarantin pada jam 10 malam tadi.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menambahbaik penyelarasan bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri yang bertindak sebagai sekretariat di peringkat negeri dalam aspek pengurusan Stesen Kuarantin,” katanya.

Mengenai kuarantin wajib yang dilaksanakan sejak 24 Julai lalu, beliau menyatakan, sehingga semalam juga, seramai 10,838 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Ujarnya, semua mereka telah ditempatkan di 60 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis, Kedah, dan Labuan.

Daripada jumlah itu, 44 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 2,992 individu telah di discaj dan dibenarkan pulang.

Mereka ini pulang dari 31 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia & New Zealand. – MalaysiaGazette