Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah menghantar Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pengendali bagi kenderaan treler yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku di KM 5 Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai, Ipoh pada 11 Ogos 2020 baru-baru ini sehingga mengorbankan tujuh nyawa dan tiga cedera.

Pengendali yang berkenaan perlu memberikan maklum balas dalam tempoh tiga hari.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, selepas maklum balas diperolehi, Unit Pematuhan dan Pemantauan Prestasi, APAD akan membuat rumusan dan syor yang akan dicadangkan melalui Jawatankuasa Pelesenan, APAD untuk memutuskan keputusan tindakan yang akan dikenakan kepada pengendali.

Jangkaan syor tindakan akan dikeluarkan pada 17 Ogos ini.

Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Unit Pemeriksaan Dan Kawalan Kenderaan Perdagangan JPJ Negeri Perak telah menjalankan sesi Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) pada 12 Ogos lalu.

“Kementerian Pengangkutan Malaysia memandang serius kejadian kemalangan jalan raya dan akan mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pengguna jalan raya yang didapati bersalah melanggar peraturan-peraturan jalan raya sebagaimana yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

”Keselamatan pengguna jalan raya dan pengendalian kenderaan barangan awam darat di jalan raya menjadi keutamaan bagi kementerian. Di bawah syarat-syarat Lesen Pengendali, kesemua pengendali pengangkutan awam darat perlu mendukung tahap amalan keselamatan tertinggi di dalam mengendalikan kenderaan mereka,” katanya.

Tambah beliau, kementerian tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang pelanggaran amalan keselamatan dan ingin memberikan peringatan keras kepada pengendali supaya mematuhi keperluan keselamatan.

Pengendali yang gagal berbuat demikian akan dikenakan tindakan yang sewajarnya di bawah peruntukan undang-undang dan peraturan-peraturan.

”Kementerian tidak akan teragak-agak untuk membatalkan Lesen Pengendali dan permit pengendali serta mengambil tindakan pentadbiran dan mahkamah sekiranya didapati pengendali telah melanggar keperluan keselamatan yang wajib dipatuhi di bawah syarat-syarat Lesen Pengendali,” sambil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tujuh maut kemalangan di Simpang Pulai