KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew menyifatkan dirinya tidak layak menerima Anugerah Khas sempena Sambutan Hari Belia Negara 2020 yang berlangsung hari ini.

Menerusi entri di Facebook miliknya, Ebit Irawan Ibrahim Lew, 36, mengucapkan terima kasih di atas pengiktirafan yang diterimanya.

Pada masa yang sama beliau beharap lebih ramai generasi muda akan saling membimbing antara satu sama lain.

“Syukur Alhamdulillah terima kasih semua atas doa dan anugerah. Tiada apa saya lakukan berbanding ramai orang. Hari ini majlis bersama anak muda belia. Saya doakan semua anak muda terus menjadi pembimbing kepada Redha Allah. Bawa manusia kepada kasih sayang. Tiadalah yang lain hanya redha Allah kita inginkan. Allah pemilik segalanya.

“Terima kasih Tan Sri Muhyiddin Yasin PM (Perdana Menteri) yang sangat baik hati. Tadi makan sekali. Segan pulak saya. Saya ni biasa-biasa je. Terima kasih Menteri Belia dan Sukan yang memberi sokongan kepada usaha yang saya lakukan. Semoga Allah beri rahmat dan kebaikan buat pemimpin negara Malaysia tercinta ini,” tulisnya.

Perasmian Sambutan Hari Belia Negara 2020 Peringkat Kebangsaan hari ini diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bharu dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. – MalaysiaGazette