Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia diunjurkan kekal stabil dan diniagakan antara 1,550 dan 1,600 mata minggu depan, kata seorang peniaga.

Ketua penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee Shen Pin berkata yang pastinya tiada pemangkin untuk menggerakkan pasaran tempatan dan dengan ketegangan yang sedang berlaku antara Amerika Syarikat dan China, pasaran dijangka kekal tidak menentu.

“Bagaimanapun, pasaran yang telah berada pada tahap kestabilannya sepanjang minggu, mungkin akan menyaksikan beberapa minat belian muncul daripada kalangan pelabur,” kata beliau kepada Bernama.

Sementara itu, ketua strategi pasaran global AxiCorp, Stephen Innes berkata, angka lemah daripada data jualan runcit China yang dikeluarkan pada Jumaat juga tidak membantu pengeksport Malaysia.

Beliau turut maklum harga minyak kekal menjadi kebimbangan kepada pasaran selepas gagal keluar daripada harga julat semasa iaitu sekitar AS$45 setong.

“Angka terkini Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga amat mengejutkan tetapi daripada sudut positif, Malaysia lebih berjaya dari segi membendung penularan COVID-19.

“Kejayaan ini boleh dilihat daripada pergerakan dalaman yang jauh lebih baik dan peningkatan dalam jualan runcit. Sehubungan itu, pelabur boleh mengharapkan hari-hari mendatang yang lebih baik,” kata beliau.

Data KDNK suku kedua Malaysia yang diumumkan pada Jumaat menunjukkan penguncupan 17.1 peratus, penyusutan sukuan dua digit paling buruk sejak 1998.

Untuk minggu baru berakhir, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kebanyakannya diniagakan rendah kecuali pada hari Khamis.

Bursa tempatan sekali lagi mencatatkan jumlah dagangan tertinggi sepanjang masa berjumlah 27.80 bilion saham bernilai RM7.80 bilion pada Selasa, mengatasi paras tinggi yang direkodkan Jumaat lepas iaitu 26.65 bilion saham bernilai RM9.04 bilion.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata, bursa tempatan merupakan bursa yang mencatatkan kerugian terbesar di Asia dengan 0.9 peratus kejatuhan, diheret turun oleh kaunter-kaunter sarung tangan iaitu Top Glove dan Hartalega, masing-masing susut 15.4 peratus dan 16.3 peratus.

“Walaupun begitu, FBM KLCI setakat ini hanya susut 1.5 peratus berdasarkan setakat tahun ini, kejatuhan paling sedikit dalam kalangan bursa serantau ASEAN yang lain,” kata beliau.

Mengikut sektor, indek Bursa Kewangan merupakan pencatat untung terbesar sepanjang minggu urus niaga dengan lonjakan 3.0 peratus manakala indeks Bursa Penjagaan Kesihatan merosot 12.5 peratus di celah-celah aktiviti pengambilan untung dalam kaunter sarung tangan.

Berdasarkan perbandingan Jumaat-Jumaat, indeks merosot 13.55 mata untuk ditutup pada 1,564.59 daripada 1,578.14 Jumaat lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas susut 221.84 mata kepada 11,144.53, Indeks FBMT 100 jatuh 202.54 mata kepada 10,976.26 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 582.37 mata kepada 12,915.18.

Indeks FBM 70 menyusut 684.62 mata kepada 14,125.85 dan Indeks FBM ACE menjunam 706.92 mata kepada 9,609.59.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 388.96 mata kepada 13,305.05, Indeks Perladangan lebih tinggi 37.03 mata kepada 7,000.78 dan Indeks Teknologi naik 0.72 mata kepada 51.75.

Indeks Penjagaan Kesihatan lebih rendah 164.78 mata kepada 3,762.49 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lega 1.83 mata kepada 139.14.

Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 88.84 bilion unit bernilai RM33.46 bilion berbanding 87.66 bilion unit bernilai RM44.56 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama mengembang kepada 50.66 bilion saham bernilai RM24.48 bilion berbanding 42.45 bilion saham bernilai RM29.18 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 3.08 bilion unit bernilai RM1.06 bilion daripada 4.07 bilion unit bernilai RM1.64 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 35.07 bilion saham bernilai RM7.91 bilion daripada 41.11 bilion saham bernilai RM13.72 bilion minggu terdahulu. – MalaysiaGazette