JERUSALEM – Bahrain dan Oman mungkin menjadi negara Teluk yang akan mengikuti langkah Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk  mengadakan persepakatan dengan Israel, kata Menteri Perisikannya.

”Setelah perjanjian (dengan UAE), akan datang ada perjanjian tambahan, dengan lebih banyak negara Teluk dan dengan negara-negara Muslim di Afrika,” kata Eli Cohen kepada radio tentera.

Tambahnya: ”Saya fikir Bahrain dan Oman pasti ada dalam agenda. Selain itu, dalam penilaian saya, ada kemungkinan pada tahun mendatang akan ada perjanjian damai dengan negara-negara di Afrika, antaranya Sudan.

Bahrain dan Oman memuji kesepakatan antara UAE-Israel, walaupun tidak ada yang mengulas prospek negara sendiri untuk menormalkan hubungan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pernah menemui pemimpin-pemimpin Oman dan Sudan dua tahun lalu.

Seorang pegawai kanan Amerika Syarikat memaklumkan pada Jumaat lalu bahawa White House telah berhubung dengan “banyak” negara di wilayah itu, berusaha untuk melihat potensi perjanjian yang boleh diwujudkan.
.
Pegawai itu enggan menyebut nama negara tetapi mengatakan negara tersebut adalah negara Arab dan negara Islam di Timur Tengah serta Afrika.

Pada hari Khamis, Israel dan UAE mengumumkan mereka akan menormalkan hubungan diplomatik dan menjalin hubungan baharu yang lebih luas.

Perjanjian itu, yang terbentuk dengan bantuan Amerika Syarikat telah mendapat tentangan Iran.

Malah, rakyat Palestin mengecam perjanjian itu sebagai satu pengkhianatan.

Israel menandatangani perjanjian damai dengan Mesir pada tahun 1979 dan Jordan pada tahun 1994.

Tetapi UAE, bersama dengan kebanyakan negara Arab lain, tidak mempunyai hubungan diplomatik atau ekonomi formal dengan Israel. – MalaysiaGazette