Gambar hiasan

WASHINGTON – Presiden Donald Trump memaklumkan beliau akan memberi tekanan kepada lebih banyak syarikat China seperti firma gergasi teknologi, Alibaba selepas TikTok.

Ditanya pada sidang media, apakah ada syarikat milik China tertentu yang akan dipertimbangkan untuk larangan, seperti Alibaba, Trump menjawab: “Ya, kita sedang melihat hal-hal lain.

Trump telah mengenakan tekanan ke atas TikTok dengan melarang aplikasi itu beroperasi di Amerika Syarikat (AS) kecuali pegangannya yang dimiliki oleh firma China dilupuskan.

Ia memerintahkan pemilik TikTok, ByteDance yang berpangkalan di China untuk melepaskan operasi TikTok di AS dalam 90 hari dengan alasan bimbang terhadap keselamatan data peribadi rakyat AS.

Sementara itu, Trump berkata, AS juga sedang mengesahkan akaun Triller, pesaing TikTok – juga menandakan rasa tidak puas hati AS terhadap aplikasi tersebut.

Triller adalah salah satu daripada beberapa alternatif TikTok, yang menyaksikan lonjakan dalam muat turun sejak Trump menandatangani perintah eksekutif pada 6 Ogos yang melarang transaksi tertentu dengan TikTok kecuali ByteDance menjualnya kepada syarikat teknologi tempatan.

TikTok terkenal dengan tarian videonya yang viral mendapat sambutan dalam kalangan remaja Amerika, menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan maklumat pengguna yang akan dikongsikan kepada pemerintah di Beijing.

ByteDance sudah dalam perbincangan untuk menjual operasi TikTok di Amerika Utara, Australia dan New Zealand kepada Microsoft. – MalaysiaGazette