Xinxing panda gergasi tertua di dunia. foto Agensi

BEIJING – Zoo Chongqing meraikan ulang tahun ke-38 Xinxing – panda gergasi tertua di dunia. Usianya itu bersamaan lebih daripada 100 tahun umur manusia.

Panda betina dijangka memecahkan Rekod Guinness Dunia sebagai panda gergasi yang paling lama hidup selepas Jia Jia, yang meninggal dunia pada 16 Oktober 2016 di Ocean Park Hong Kong, kira-kira dua bulan setelah berusia 38 tahun.

Xinxing adalah panda selebriti berada dalam keadaan fizikal yang baik, kecuali mengalami tekanan darah tinggi sekali sekala, menurut Yin Yanqiang, Pengarah Teknikal Zoo Chongqing.

Beratnya mencecah 98kg dan memakan 30 kg rebung, 0.5kg daun buluh, 1kg epal dan 70 gram makanan proses setiap hari.

Xinxing dibawa ke Zoo Chongqing pada usia satu tahun.

“Pada usia 38, Xinxing telah berusia antara 110 hingga 130 pada tahun seperti umur manusia,” kata Yin Yanqiang

Menurutnya, terdapat kurang daripada 30 panda gergasi di dunia yang telah hidup setelah usia 30 tahun.

Xinxing, dilahirkan di Sichuan pada tahun 1982, dihantar ke Zoo Chongqing pada tahun 1983.

Ia pernah mengunjungi Calgary, Alberta di Kanada semasa Olimpik Musim Sejuk 1988, yang mana Xinxing berjaya menarik lebih dari 1 juta pengunjung.

Xinxing telah melahirkan 10 anak dan merupakan induk kepada keluarga besar 153 ekor panda.

Keturunannya berada di seluruh dunia – lebih daripada 20 negara dan wilayah, termasuk Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun. – MalaysiaGazette