KUALA LUMPUR – Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang menyambut ulang tahun ke-30 telah berkembang menjadi tabung unit amanah terbesar negara dengan pelaburan yang meluas dalam pelbagai instrumen kewangan dan syarikat utama negara hari ini.

ASB yang diperkenalkan pada 2 Januari 1990 diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Sepanjang tempoh 30 tahun ini juga, ASB telah memberi pulangan dividen dan bonus sebanyak RM151.9 bilion kepada pelabur walaupun ada ketikanya berdepan krisis kewangan dan ekonomi yang sangat mencabar, kata Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz .

”ASB merupakan unit amanah yang kedua dilancarkan oleh PNB selepas pelancaran Sekim Amanah Saham Nasional (ASN) pada 1981. ASB mempunyai ciri-ciri unik yang berharga tetap iaitu RM1 dan hanya memerlukan pelaburan permulaan serendah RM10.

”Sehingga 15 Jun lalu, ASB mempunyai lebih 10 juta pemegang unit dengan 169 bilion unit dalam edaran,” kata beliau dalam perutusan sempena ulang tahun ASB yang bertemakan ”Aspirasi Anda, Amanah Kami”.

ASB yang diperkenalkan pada 2 Januari 1990 dan diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn pula mengajak para pelabur bumiputera memilih ASB sebagai produk pelaburan mereka.

Menurut beliau, kemudahan pelaburan ASB telah melalui evolusi yang bermula dari rangkaian ejen dan pejabat pos kemudian ditingkatkan menerusi perbankan Internet dan terkini melalui portal dan aplikasi myASNB.

Menurutnya, pelbagai pembaharuan ini diperkenalkan demi kemudahan para pelabur.

”Dahulu, pegawai ASB perlu turun padang ke kampung dan desa untuk memperkenalkan ASB dan merekod urus niaga pelabur dalam buku pelaburan secara
manual,” ujarnya.

Selain itu pelabur juga boleh menamakan penerima untuk pelaburan mereka dalam ASB menerusi Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah. – MalaysiaGazette