Pensyarah Senior Sains Forensik UKM, Dr Raja Muhammad Zuha Raja Kamal Bashah berikan penjelasan terperinci mengenai entomologi forensic, yang merupakan pembelajaran saintifik tentang serangga yang berkait rapat dengan mayat sepanjang siasatan undang-undang.

KUALA LUMPUR – Dunia sains forensik pastinya bidang yang mengujakan buat mereka yang gemar cabaran tapi ramai yang membatalkan hasrat itu gara-gara bimbang apabila memikirkan perlunya menjalankan pembedahan ke atas mayat apabila bekerja nanti.

Ketua Program Sains Forensik UCSI University, Dr Nur Haliza Hassan berkata, ramai yang salah faham dan menganggap sains forensik hanya berkaitan dengan mayat.

“Memang ramai salah faham. Sebenarnya bidang ini sangat luas, bukan semua tugas forensik ini perlu mengendalikan mayat. Kalau di hospital, yang menjalankan tugas membedah mayat itu dijalankan oleh pakar forensik patologi bukan ahli kimia ataupun pegawai sains forensik,” katanya pada majlis pelancaran program Ijazah Sarjana Muda (Hons) Sains Forensik di Universiti UCSI, hari ini.

Menurut Dr Nur Haliza, kepakaran dalam bidang sains forensik hari ini menjadi rebutan dalam pasaran pekerjaan susulan banyak agensi dan jabatan yang mula meneroka bidang ini.

“Ini memberi ruang kepada peluang pekerjaan kepada lebih ramai pakar forensik dan kimia. Di Universiti UCSI kita tawarkan 30 peratus subjek Kimia yang melayakkan graduan kita untuk berdaftar sebagai ahli di Institut Kimia Malaysia (IKM) sebagai ahli kimia berdaftar.

“Ini penting supaya tanda tangan graduan kita diiktiraf untuk menandatangani laporan kimia bagi kes-kes jenayah dan diterima pakai di mahkamah di Malaysia. Graduan juga boleh bekerja dalam bidang kimia analitikal seperti syarikat minyak dan gas, farmasi, cat mahupun sebagai penyiasat persendirian,” katanya.

Dalam majlis sama, Pensyarah Kanan Sains Forensik UKM, Dr Raja Muhammad Zuha Raja Kamal Bashah dan Pegawai Forensik, Inspector How Xin Ni berkongsi pengalaman dan infor berkaitan dunia sains forensik. – MalaysiaGazette