Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (dua kiri) menyerahkan surat tawaran kepada penerima, Shafriel Hafizi Ahmad (kanan) pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Penyewaan PA/PPR Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Menara DBKL 1, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 28 daripada 31 keluarga setinggan di Pantai Dalam, dekat sini, menerima Surat Tawaran Penyewaan Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Surat Tawaran itu disampaikan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam majlis ringkas yang diadakan di Bilik Gerakan, Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Keluarga berkenaan telah diarah berpindah dari penempatan setinggan Pantai Dalam oleh pihak pemaju berikutan kawasan itu akan dibangunkan.

Justeru, atas keprihatinan UMNO Bahagian Sri Pantai yang berusaha mendapatkan penempatan sementara, telah merujuk kes berkenaan kepada Annuar, yang kemudian telah menempatkan keluarga berkenaan di empat PPR.

PPR itu ialah Sri Muhibah, Sri Cempaka, Sri Kerinchi dan Sri Pantai, yang masing-masing diberi penempatan sementara untuk tempoh enam bulan bermula 15 Ogos lalu.

Memandangkan keluarga ini akan mula mendiami PPR itu bermula esok, mereka hanya perlu membayar sewa separuh daripada harga RM124 sebulan.

Selepas tempoh enam bulan, keluarga ini akan memohon sebagai orang awam sekiranya mereka mahu terus menyewa di kediaman itu.

Semua 28 penduduk itu telah dibayar pampasan sebanyak RM5,000 setiap keluarga, yang mana pada mulanya mereka menuntut bayaran RM10,000. – MalaysiaGazette