Selepas lebih 15 tahun pembunuhan bekas Perdana Menteri Rafik Hariri di Beirut pada tahun 2005, mahkamah di Belanda yang disokong PBB akan mengumumkan pendakwaan yang dilakukan terhadap empat anggota kumpulan Hezbullah yang dituduh terlibat dalam pembunuhan itu. foto AP

Leidschendam, BELANDA – Hakim di Tribunal Khas yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Lubnan, akan memutuskan pada hari Selasa kes pembunuhan konspirasi bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafik al-Hariri.

Empat anggota Hezbollah telah dituduh melakukan  pengeboman tahun 2005 yang membunuh Hariri dan 21 yang lain.

Letupan yang membunuh Hariri berlaku pada 14 Februari 2005 dan bukti DNA menunjukkan ia dilakukan oleh pengebom berani mati yang tidak pernah dikenalpasti.

Hariri adalah, seorang jutawan Islam Sunni, yang mempunyai hubungan rapat dengan Amerika Syarikat (AS), sekutu Arab dan Teluk Arab.

Beliau juga dilihat memberi ancaman terhadap pengaruh Iran dan Syria di Lubnan.

Pembunuhannya telah mengakibatkan Lubnan berada dalam krisis terburuk sejak perang saudara 1975-90, yang membawa kepada penarikan balik pasukan tentera Syria dan berada dalam konfrontasi antara pasukan politik saingan bertahun-tahun lamanya.

Hezbollah, kumpulan Muslim Syiah yang disokong Iran, telah menafikan terlibat dalam pengeboman yang berlaku pada 14 Februari 2005.

Kes itu dibayangi oleh letupan di Beirut baru-baru ini – kejadian paling dahsyat dalam sejarah Lubnan – yang mengorbankan 178 orang.

Keputusan di Den Haag mungkin akan menyulitkan keadaan yang sudah bergejolak setelah letupan 4 Ogos lalu dan keputusan peletakan jawatan Kabinet kerajaan yang disokong oleh Hezbullah dan sekutunya.

Penghakiman awalnya dijangkakan awal bulan ini, tetapi ditangguhkan setelah letupan besar melanda pelabuhan Beirut.

Siasatan dan perbicaraan tanpa kehadiran keempat-empat anggota Hezbollah telah memakan masa 15 tahun dan menelan perbelanjaan kira-kira AS$ 1 bilion.

Keputusannya mungkin tertuduh-tertuduh didapati bersalah dan kemudian dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup ataupun pembebasan.

Semasa perbicaraan, mangsa-mangsa memberi keterangan dengan kuat di mahkamah mengenai anggota keluarga yang hilang.

Keputusan dijadualkan mengambil selama enam jam, akan disiarkan melalui video kerana hanya segelintir masyarakat dan media yang dibenarkan masuk ke mahkamah kerana pandemik koronavirus.

Anak Hariri Saad dijangka hadir.

Pendakwa menggunakan rekod telefon bimbit untuk berhujah ke atas tertuduh iaitu Salim Jamil Ayyash, Hassan Habib Merhi, Assad Hassan Sabra dan Hussein Hassan Oneissi, yang didakwa memantau pergerakan Hariri berbulan-bulan sebelum melakukan serangan itu.

Pendakwa yang berhujah berkata, serangan yang dilakukan mungkin didorong oleh keinginan untuk menyingkirkan Hariri.

Peguam yang dilantik oleh mahkamah pula memberitahu, tidak ada bukti fizikal yang mengaitkan defendan dengan jenayah dan mereka harus dibebaskan. – MalaysiaGazette