KUALA LUMPUR – Nyanyian lagu Aku Bidadari Syurgamu oleh seorang pelajar perempuan kelainan upaya (penglihatan) yang kini tular di laman sosial media turut menarik perhatian penyanyi asalnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Siti Nurhaliza turut melahirkan rasa kagum dengan nyanyian anak istimewa bernama Suhaila itu yang merupakan pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Setapak.

“MasyaAllah..kurniaan istimewa,” puji Siti spontan di Twitter miliknya.

Video asal yang dimuat naik di laman YouTube itu mula tular apabila ada seorang pengguna media sosial memuat naik video tersebut dengan membalas komen daripada Siti Nurhaliza di laman Twitter agar menanda pagar video yang dinyanyikan oleh mana-mana individu.

Difahamkan, dia menyanyikan lagu tersebut untuk pertandingan e-Mahabbah yang diadakan di sekolahnya.

Penyanyi, Ernie Zakri juga turut meninggalkan komen tanda hati terhadap nyanyian Suhaila yang sangat menusuk jiwa itu.

Lagu Aku Bidadari Syurgamu merupakan salah satu lagu yang terdapat dalam album baharu Siti Nurhaliza iaitu ManifestaSiti2020 yang turut menjadu lagu tema drama popular, 7 Hari Mencintaimu 2.

Terdahulu lagu ini juga pernah dinyanyikan semula oleh Haqiem Rusli, Aina Abdul, Khai Bahar dan juga pelantun lagu Sampai Bila, Misha Omar. – MalaysiaGazette