Mustafa Shah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – DAP akhirnya menunjukkan wajah rasis mereka apabila Pemuda Sarawak melakukan perbuatan biadab menampal tulisan Cina di beberapa papan tanda di bandar Kuching, semalam.

Jika sebelum ini DAP mendakwa mereka bukan rasis dan anti Melayu, hari ini terbukti pemimpin parti itu mengamalkan sikap diskriminasi apabila secara terangan menolak bahasa Melayu.

Lebih malang lagi, tegas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mustafa Shah Abdul Hamid, tindakan itu dilakukan ketika negara sedang berada dalam bulan kemerdekaan dan akan menyambut ulang tahun ke 63 pada 31 Ogos ini.

“Jadi, ke mana perginya nilai dan semangat patriotik pemimpin DAP apabila cuba mencabar kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara? Ini adalah satu tindakan biadab yang tidak boleh dimaafkan.

“Pemuda DAP Sarawak sewajarnya menghormati kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa perpaduan kepada rakyat negara ini yang berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menyatakan, selaras dengan kedudukan Bahasa Melayu dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkannya sebagai bahasa kebangsaan, tindakan pemimpin DAP itu juga jelas melanggar Perlembagaan dan  Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

Oleh itu, katanya, satu tindakan tegas perlu diambil terhadap pemimpin DAP Sarawak yang bertindak memperlekehkan bahasa kebangsaan negara. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.