Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sektor agrikomoditi telah mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM82 bilion pada separuh pertama tahun ini, meningkat 2.7 peratus berbanding RM79.8 bilion yang direkodkan pada tahun 2019.

Pendapatan eksport produk-produk agrikomoditi adalah sebanyak RM63.7 bilion atau 14.2 peratus daripada keseluruhan  pendapatan eksport negara bagi tempoh Januari hingga Jun 2020.

Nilai ini meningkat sebanyak 4.4 peratus berbanding RM61.1 bilion yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya disebabkan oleh kenaikan harga agrikomoditi utama iaitu harga purata minyak sawit mentah (MSM).

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar
iaitu sebanyak 51.8 peratus daripada jumlah eksport barangan agrikomoditi mencatatkan peningkatan sebanyak 3.2 peratus kepada RM33 bilion.

Namun kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan iaitu sebanyak 12.3 peratus kepada 12 juta tan.

Menurutnya, pandemik Covid-19 telah memberikan kesan kepada pengeluaran eksport minyak sawit bukan sahaja di Malaysia malah kepada semua negara pengeluar minyak sawit dunia.

Melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan yang bermula secara berperingkat pada 18 Mac hingga 31 Ogos 2020 telah memberikan kesan secara langsung kepada eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit.

Pengecualian 100 peratus duti eksport bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2020 yang telah diumumkan oleh kerajaan pada 5 Jun 2020, dijangka dapat mendorong permintaan dunia ke atas minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia.

Selain itu, kesan pengurangan duti import sebanyak 5 peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–India (AIFTA) mulai 1 Januari 2020 dijangka mampu merangsang kembali eksport minyak sawit Malaysia ke India.

Tambah kementerian itu, produk getah menyumbang sebanyak 27.9 peratus kepada keseluruhan eksport barangan agrikomoditi telah meningkat sebanyak 18.3 peratus kepada RM17.8 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 disebabkan oleh nilai eksport produk berasaskan latex terutama sarung tangan getah.

Produk ini telah merekodkan peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 40.3 peratus kepada RM11.8 bilion berbanding RM8.4 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019. Kuantiti eksport bagi sarung tangan getah turut mencatatkan peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 48 peratus kepada 563,000 tan berbanding 380,000 tan bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette