Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – Hasrat Muafakat Nasional (MN) untuk menerima penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan satu rahsia yang harus disembunyikan.

Sebaliknya, ia dibuat secara terbuka menerusi mesyuarat kedua-dua parti dalam MN, iaitu UMNO dan Pas.

Menurut Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan, isu itu bermula pada 29 Julai lalu dalam perjumpaan bersama Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), yang mana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada mengumumkan hasrat menyertai MN.

Katanya, beliau tidak tahu sama ada hasrat itu turut disuarakan Muhyiddin kepada Pas atau sebaliknya.

“Pada 6 Ogos lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Perunding MN yang dipengerusikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengambil keputusan untuk menerima Bersatu masuk ke dalam MN.

“Pada masa sama, soal perbincangan agihan kerusi dan hal-hal lain akan diteruskan.

“Pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Biro Politik UMNO 7 Ogos lalu, perkara ini dilaporkan kepada kedua-dua mesyuarat dan semua yang hadir jelas mengenai keputusan mesyuarat MN sehari sebelumnya,” katanya yang dipetik menerusi postingnya dalam akaun Facebook beliau.

Jelas Shahril Sifuan, andaikata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menandatangani surat menjemput Bersatu ke dalam MN, itu adalah konsisten dengan keputusan mesyuarat MN dan pemakluman kepada MT UMNO.

Ujar beliau, kronologi itu adalah hakikat, manakala keresahan akar umbi setelah hal berkenaan dilaporkan di media, juga adalah hakikat.

“Saya yakin dalam hari-hari mendatang, perkara ini akan dikupas dengan lebih panjang oleh pelbagai pihak.

“Saya turut mempunyai pandangan tersendiri, tetapi selaku Ketua Penerangan UMNO dan dalam soal besar seperti ini, biarlah pandangan itu dilontarkan dalam mesyuarat terlebih dahulu.

“Selagi isu ini masih boleh dibincang – berlandaskan analisa landskap politik yang juga kian berubah sejak mesyuarat terakhir dan jika ada keperluan kelak, saya akan mengulas situasi ini dengan lebih panjang,” katanya.

Menurut beliau, untuk ketika ini, apapun kaedah penyampaian pandangan untuk mengharmonikan antara dua hakikat itu, biarlah fakta kekal fakta.

Beliau bagaimanapun, menjelaskan, tidak tepat sekiranya ada andai menyatakan Presiden telah bertindak di luar pengetahuan majlis kepimpinan yang lain.

Katanya, melihat mood akar umbi, kenyataan itu mungkin kurang popular tetapi berpegang kepada prinsip, berkata benar walaupun pahit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast