Ibrahim Ali (tengah) bersama 14 Ketua Bahagian Putra dan wakil kepimpinan peringkat negeri pada majlis penyampaian sijil ROS.

KUALA LUMPUR – Semangat juang Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) semakin tinggi dan mantap, kata presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.

Beliau berkata, pucuk pimpinan parti itu kini giat menyampaikan sijil kelulusan penubuhan di peringat bahagian oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Katanya, di Kelantan sahaja sebanyak 14 bahagian Putra telah menerima sijil kelulusan dan boleh menjalankan aktiviti kepartian seperti biasa.

“Semua 14 Ketua Putra Bahagian di Kelantan hadir, yang diketuai Pengerusi Badan Perhubungan Putra negeri, Datuk Prof. Dr. Che Musa Che Omar.

“Sijil kelulusan ROS itu disampaikan saya selaku Presiden Putra Malaysia di pejabat Putra di Taman Mimi, Wakaf Bharu, Tumpat pagi tadi,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysia Gazette hari ini.

Dalam ucapanya, Ibrahim menghuraikan strategi Putra Kelantan untuk menghadapi parti lawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Katanya, Putra di seluruh negara secara umumnya telah bersedia dengan jentera di peringkat negeri dan bahagian untuk turun mengempur parti lawan dari Muafakat Nasional (MN) mahupun Pakatan Harapan (PH).

Setakat ini, kata Ibrahim, parti itu di Kelantan sudah muktamad akan bertanding 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 45 kerusi.

“Rakyat Kelantan akan diberi pilihan untuk mendapat kerajaan baharu, kerajaan Putra,” katanya.

Semalam, beliau menyampaikan watikah pelantikan Ahli Jawatankuasa Bahagian, Ketua Cawangan dan Ketua Peti Undi Putra di Parlimen Rantau Panjang.

Jelas beliau, Parlimen Rantau Panjang mempunyai 38 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan diketuai Ketua penaja bahagian, Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast