Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Kongres Negara 2020 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia meminda perlembagaan bagi membolehkan ahli bukan Melayu memegang jawatan dalam parti itu.

Presidennya Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi tujuan itu satu jawatankuasa akan dibentuk diketuai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Tan Sri Rais Yatim sebelum perkara itu dimuktamadkan pucuk pimpinan parti.

Beliau berkata, jika cadangan itu diterima MPT, satu mesyuarat agung luar biasa akan diadakan bagi meminda perlembagaan parti.

“Dalam mesyuarat MPT PPBM lalu, saya bawa usul untuk membolehkan ahli bersekutu (bukan Melayu) menyumbang idea bukan setakat ahli biasa, tapi berperanan memberi idea dan terlibat dalam kepimpinan. Bentuk chapter baru dalam Bersatu.

“Kami cadang pembentukan bab baru yang membolehkan ahli bersekutu memegang jawatan dan menyumbang idea untuk memajukan parti.

“Satu jawatankuasa di bawah Rais Yatim dibentuk dan akan kemuka kepada saya dan dibawa ke MPT,” katanya ketika berucap dalam Kongres Negara 2020 hari ini.

Katanya, jika perkara itu diterima pihaknya akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa untuk meminda perlembagan Bersatu agar ia dapat dilaksanakan.

Sebelum ini Bersatu hanya membuka keahlian kepada bukan Melayu sebagai ahli bersekutu dan tidak boleh memegang jawatan dalam parti. – MalaysiaGazette