Dr. Bala Gopal

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bersetuju untuk menubuhkan Kelab Penyokong Putra (KPP) dalam kalangan masyarakat bukan Bumiputera.

Menurut Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, KPP akan diketuai Dr. Bala Gopal yang akan bertindak menarik sokongan masyarakat India mendekati parti itu.

Katanya, KPP adalah khusus untuk masyarakat bukan bumiputera yang menyokong perjuangan Putra.

“Mereka ini antara yang memahami asas Perlembagaan Negara dan menghayati Kontrak Sosial yang menzahirkan asas perlembagaan dan kemerdekaan negara pada tahun 1957.

“Kelab penyokong ini akan dketuai Pengerusi bersama Dr. Bala Gopal dan beberapa pemimpin masyarakat bukan Melayu.

“Kita akan menyusun kelab ini dan akan dimaklumkan tarikh pelancarannya dengan gabungan penyokong pimpinan pelbagai kaum, terutama India dan Cina,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr. Bala Gopal ketika ditemui MalaysiaGazette menyatakan, beliau sudah lama tertarik dengan parti Putra.

Katanya, hasrat itu kesampaian apabila beliau berjumpa dengan Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman dan menyatakan impiannya untuk bertemu dengan Ibrahim.

“Hari ini saya berpeluang bertemu secara dekat dengan Dr. Ibrahim dan dia menjelaskan perjuangan Putra, walaupun untuk Bumiputera dan Melayu, parti itu tetap memperjuangkan kaum lain.

“Setelah saya mendalami dan memahami perjuangannya, saya tekad untuk menjadi Putra sebagai platform untuk memberitahu kepada kaum India di seluruh negara.

“Apabila saya mendekati Dr. Ibrahim dan parti Putra, kedua-duanya tidak sebagaimana diura-urakan oleh pihak tertentu, kononnya mereka rasis,” katanya.

Katanya, beliau akan turun ke bawah dan menemui masyarakat India untuk memecahkan stigma itu dan Putra adalah sebuah parti Melayu yang terbuka.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ibrahim memaklumkan Putra menerima keahlian baharu seramai 530 orang.

Beliau juga turut mengumumkan pelantikan ADT baharu, iaitu bekas Timbalan Ketua Cawangan Khas Polis Pulau Pinang, Asisten Komisioner (Bersara), Zain Rashid, diikuti Naib Presiden dan Ketua Dewan Muda Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Raja Petra Maruddin Raja Nordin.

Turut dilantik jawatan ADT ialah Dr. Kamari Kasan dan Ketua Putra Bahagian Kota Belud, Roziah Jumatin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast