KUALA LUMPUR – Daripada berniat mahu menubuhkan parti baharu adalah lebih baik Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyertai dan mengetuai anak muda dalam parti Pejuang yang diasaskan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut bekas Penyelaras Pakatan Harapan (PH) Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, bekas Ketua Armada Nasional Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu wajar menerajui pemuda dalam Pejuang sekiranya beliau mahu berjuang atas prinsip kebenaran.
Bagaimanapun, katanya, sebagai sahabat, beliau menghormati pendirian Syed Saddiq dan yakin bekas Menteri Belia dan Sukan itu berupaya menghimpunkan seramai mungkin anak muda menyertai parti baharu itu.
“Saya rasa beliau sudah mengenali hati budi Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana sama-sama berjuang dalam parti Bersatu sebelum ini.
“Kedua-dua pemimpin ini amat terbuka dalam menerima sesiapa sahaja, termasuk Syed Saddiq menyertai Pejuang dan memberi peluang kepadanya untuk memimpin anak muda,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Dalam kenyataan semalam, Syed Saddiq memberi bayangan tidak menyertai Pejuang sebaliknya akan menubuhkan parti baharu berasaskan orang muda pelbagai bangsa.
Beliau dilaporkan berkata, tidak kira apa berlaku, dia sentiasa menghormati dan menyokong Mahathir namun pada masa sama tetap menghormati Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ‘membawanya’ ke dunia politik. – MalaysiaGazette

















Ayuh sertai parti anak beranak mahathir.. Anda akan di tipu dengan macam2 cerita yang buruk semua orang… Hanya anak beranak mahathir saja yang betol… Bodoh punya khairudin x nampak2 lagi pembohongan atuk dan anak…