Orang ramai kelihatan bersesak membeli barang keperluan asas di dalam sebuah kedai tidak mematuhi gesaan kerajaan untuk penjarakan sosial berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan wabak Covid-19 di sekitar Pandan Indah, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Pada ketika banyak perniagaan merudum akibat COVID-19, kedai runcit pula mengalami keadaan yang berlainan.

China Press melaporkan, disebabkan ramai orang berasa leceh untuk beratur memasuki pasar raya besar berikutan pelaksanaan kawalan penjarakan sosial, keadaan itu memberi nafas baharu kepada kedai-kedai runcit yang sebelum ini mengalami persaingan sengit daripada pusat membeli-belah.

Daripada berdepan “waktu senja” , kedai runcit kini seakan-akan berada dalam “musim bunga” yang penuh harapan.

Presiden Persatuan Kedai Runcit Malaysia, Hong Chee Meng berkata, perniagaan kedai-kedai runcit secara umumnya telah mencatatkan peningkatan prestasi sebanyak 20 hingga 40 peratus sejak 18 Mac lalu.

“Pelbagai kawalan untuk memasuki pasar raya telah menyebabkan orang ramai terpaksa beratur panjang, terutamanya pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Keadaan ini mendorong pengguna memilih untuk mengunjungi kedai runcit yang berdekatan untuk membeli barang keperluan harian,” katanya kepada China Press.

Ditanya sama ada perniagaan Internet memberi impak kepada kedai runcit, Chee Meng berkata, pada ketika perniagaan dalam talian melonjak disebabkan wabak COVID-19, perniagaan barangan runcit tidak ditelan arus itu kerana kadar keuntungan untuk setiap barang runcit yang rendah.

“Jika ditambah dengan kos penghantaran, kos perniagaan dalam talian untuk barangan runcit adalah sangat tinggi.

“Oleh itu, perniagaan barangan runcit secara dalam talian adalah kurang baik berbanding perniagaan barangan lain,” katanya.

Katanya, kedai runcit pernah diibarat sebagai “sektor dalam waktu senja”, tetapi kawalan pergerakan memberi nafas baharu kepadanya.

“Berdasarkan pengalaman lalu, kedai runcit akan mencatatkan prestasi perniagaan lebih baik berbanding pusat membeli-belah pada ketika ekonomi tidak baik.

“Ini kerana orang ramai akan mengurangkan kekerapan mengunjungi pusat membeli-belah dan menambah kekerapan ke kedai runcit,” katanya.

Ujarnya, kedai runcit juga memberi perkhidmatan “sentuhan kemanusiaan” termasuk sanggup memberi diskaun kepada pelanggan setia dan membantu pelanggan untuk mengangkat barang ke kereta. – MalaysiaGazette