KUALA LUMPUR – AirAsia.com dan Agoda menjalinkan kerjasama strategik untuk memacu permintaan perjalanan di Asia Tenggara dan memperkukuh tawaran dalam aplikasi AirAsia.

Inisiatif daripada kerjasama tersebut merangkumi pakej perjalanan, keistimewaan keahlian dan juga pemasaran produk bersama.

AirAsia berkata, para pelanggan AirAsia.com kini dapat menikmati lebih banyak pilihan penginapan daripada Agoda melebihi 600,000 dengan tempahan melalui SNAP, yang menawarkan pakej penerbangan dan hotel dengan nilai terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata, kerjasama dengan Agoda ini merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh kumpulan AirAsia untuk meningkatkan permintaan perjalanan sementara menjangkakan pembukaan semula sempadan di Asia Tenggara dalam masa dekat ini.

”Kerjasama ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memberi lebih kemudahan, pilihan dan nilai kepada tetamu kami, terutamanya dalam situasi pasca-Covid ini. Situasi ini juga memberikan peluang kepada kami untuk bekerjasama secara inovatif dengan rakan strategik seperti Agoda, untuk menawarkan perkhidmatan perjalanan dan gaya hidup lebih baik kepada para penumpang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, John Brown, Ketua Pegawai Eksekutif Agoda pula berkata, kerjasama antara kedua-dua jenama pelancongan terkenal di Asia Tenggara ini dijangka memberi impak lebih luas, seterusnya memberi keyakinan kepada penyedia penginapan, penyedia hospitaliti dan pemain industri penerbangan yang berkaitan. – MalaysiaGazette