Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menandatangani perjanjian kerjasama teknologi kewangan bersama Otoritas Jasa Keuangan (OJK) Indonesia untuk mewujudkan rangka kerja kolaboratif bagi mengembangkan ekosistem fintech dalam kedua-dua pasaran.

OJK Indonesia merupakan agensi kerajaan Indonesia yang mengawal selia dan mengawasi sektor perkhidmatan kewangan, yang merangkumi sektor perbankan, pasaran modal, dan industri kewangan bukan bank.

Perjanjian ini bermatlamat memudahcarakan perkongsian maklumat berhubung trend munculan dan perkembangan kawal selia dalam industri fintech, memberikan peluang projek inovasi bersama dan memudahcarakan rujukan perniagaan fintech yang beroperasi dalam bidang kuasa di kedua-dua negara.

Ia ditandatangani oleh Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar dan Naib Pengerusi OJK, Ir. Nurhaida pada Hari Inovasi Maya anjuran OJK.

ASEAN merupakan salah satu rantau yang paling pesat berkembang di dunia dengan penduduk berjumlah 670 juta dan jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak AS$4.7 trilion menjelang 2025.

Memandangkan kelas pertengahannya yang pesat berkembang dan kadar capaian internet yang tinggi, ASEAN berpotensi untuk muncul sebagai pusat pengembangan bagi perniagaan dan perkhidmatan inovatif.

Sejak 2017, SC telah mengadakan enam perjanjian fintech bersama pengawal selia lain, antaranya, Hong Kong Securities and Futures Commission (SFC), Monetary Authority of Singapore (MAS) dan Australian Securities and Investments Commission (ASIC).

Sebagai sebahagian daripada agenda digitalnya, SC telah memperkenalkan pelbagai inisiatif fintech sejak 2015, seperti menjadi bidang kuasa pertama di Asia-Pasifik untuk mengawal selia pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF), diikuti oleh antara lain, rangka kerja kawal selia bagi pembiayaan antara rakan setara (P2P), perkhidmatan pengurusan pelaburan digital (DIM) dan bursa aset digital (DAX), antara lain.

Pada bulan Mei tahun ini, ia memperkenalkan rangka kerja bagi kemudahan dan pengedaran produk pasaran modal dalam talian melalui platform e-perkhidmatan seperti penyedia perkhidmatan e-dompet atau e-pembayaran. – MalaysiaGazette