Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kes positif Covid-19 kembali kepada dua angka apabila 11 kes baharu dilaporkan hari ini yang melibatkan sembilan kes penularan tempatan dan dua kes import.

Seramai enam pesakit pula telah pulih dan dibenarkan keluar.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 189 dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Jelasnya, dua kes import yang dilaporkan hari ini melibatkan seorang warganegara Malaysia yang baru pulang dari Filipina dan seorang warga asing yang baru tiba dari Indonesia.

Kedua-dua kes import dikesan di Selangor.

Hari ini, Kedah mencatatkan tujuh daripada sembilan kes penularan tempatan yang mana lima daripadanya datang daripada Kluster Tawar; satu kes hasil saringan pra-pembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah dan satu kes saringan bergejala.

Dua lagi kes baharu adalah satu kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) direkodkan di Perlis hari ini manakala satu kes masih dalam siasatan di Selangor kerana Pesakit Bawah Siasatan (PUI) tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Sehingga kini, terdapat lapan kes positif  COVID-19  yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini,” katanya semasa sidang media hari ini. – MalaysiaGazette