Khalid Samad.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa pendedahan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berhubung projek rundingan terus di Dewan Rakyat semalam bertujuan untuk memalukan “menteri pengkhianat” dalam Perikatan Nasional (PN).

Malah katanya, Menteri Kanan (Ekonomi) Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut dilihat kaget dengan pendedahan itu.

“Mohamed Azmin Ali bagaikan melompat bila perkara ini didedahkan. Saya tak tolak kemungkinan isu ini hendak memalukan beliau juga.

“Ini mungkin permainan politik antara UMNO dan Bersatu,” kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) itu ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung DAP, yang juga bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Jelas Khalid, projek rundingan terus yang didedahkan Tengku Zafrul semalam membabitkan kementerian diterajui “menteri pengkhianat” yang kini bersama PN.

Isu rundingan terus Pakatan Harapan yang didakwa bernilai RM6.61 bilion itu didedah Tengku Zafrul dalam sesi Dewan Rakyat semalam.

Tengku Zafrul berkata jumlah itu bersamaan dengan 101 projek rundingan terus yang diluluskan oleh kementerian tersebut sewaktu pentadbiran kerajaan PH.

“Semasa pentadbiran sebelum ini sejumlah 101 projek ataupun perolehan yang bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan secara rundingan terus oleh kementerian kewangan,” kata Tengku Zafrul ketika penggulungan RUU Langkah-langkah sementara bagi pembiayaan kerajaan (penyakit koronavirus 2019) Covid-19 di Dewan Rakyat.

Dakwaan itu menimbulkan kekecohan apabila beberapa ahli Parlimen PN menuntut supaya menteri berkenaan untuk menyenaraikan semua projek berkenaan.

Guan Eng kemudian bangun dan berkata dia terbuka sekiranya Tengku Zafrul memberitahu senarai penerima.- MalaysiaGazette