SLIM RIVER – UMNO akan mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Ahli Majlis Kerja Tertingginya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, keputusan itu dibuat oleh pimpinan tertinggi UMNO dan bukan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Mutilmedia memberitahu, Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memiliki kerusi itu sekarang perlu mencari kawasan lain pada PRU akan datang.
“Dulu kerusi yang lompat sepatutnya diambil balik dan keputusan dibuat oleh MKT dan bukan presiden parti.
“Kerusi itu sudah pasti milik UMNO dan BN walaupun mereka (bekas Ahli Parlimen UMNO) melompat parti.
“Kita tidak bagi satu kerusi pun kepada Bersatu, kalau mereka hendak bertanding juga, parti itu perlu mencari kawasan lain seperti milik Bersatu Blackout,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Makan Tengahari Bersama Penduduk sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Dewan Serbaguna Kuala Slim di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang sebelum ini berkata, parti itu akan mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya dalam pilihan raya lalu.
Mengulas kerusi yang kalah, Zainul yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar menambah, parti kedua yang kalah akan menjadi calon pada PRU nanti.
Sebagai contoh katanya, sekiranya PKR memenangi kerusi itu dan UMNO di tempat kedua, parti itu yang akan bertanding.
“Cuma yang kita bincang dalam Muafakat Nasional adalah kerusi pemimpin tertinggi Pas seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bertanding dan menang yang akan diberikan.
“Begitu kerusi untuk timbalan dan naib presiden Pas akan kita bincang dan itu isu lain,” katanya. – MalaysiaGazette

















