Fadillah Yusof

GOMBAK – Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan sebahagian projek rundingan terus yang membabitkan RM6.61 bilion di bawah Kerajaan Pakatan Harapan membabitkan Kementerian Kerja Raya.

“Yang diputuskan oleh Kementerian Kewangan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini memang ada sebahagiannya di kementerian kita (KKR)..dan ya memang saya sahkanlah apa yang dikatakan oleh Tengku Zafrul.

“Bagaimanapun saya tidak tahu anggaran nilai projek tersebut tetapi akan semak (projek rundingan terus),” kata Menteri Kerja Raya itu ketika ditanya sama ada terdapat projek di bawah kementerian itu terlibat dalam rundingan terus.

Ditanya apakah ia adalah projek luar biasa sehingga memerlukan keputusan rundingan terus, Fadillah menafikannya.

“Walaupun projek itu direct nego (rundingan terus), ia tidak termasuk dalam kategori projek terdesak.. Kita tunggu apa-apa tuntutan daripada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan tindakan mereka.

“Jika mereka memerlukan apa-apa dokumen daripada kementerian saya untuk menyokong siasatan, kita akan beri kerjasamalah.. ia terserah kepada SPRM,” tegasnya.

Kelmarin, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz mendedahkan sejumlah 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion diluluskan oleh kementerian tersebut sewaktu pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan.

Tengku Zafrul membangkitkan perkara itu ketika penggulungan RUU Langkah-langkah sementara bagi pembiayaan kerajaan (penyakit koronavirus 2019) Covid-19 2020 di Dewan Rakyat.

Namun, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tender terbuka di zaman pentadbiran Pakatan Harapan hanya melibatkan kos purata pada paras RM65.3 juta sahaja.- MalaysiaGazette