A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Komposisi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini ‘lebih UMNO’, dakwa Datuk A. Kadir Jasin.

Menurut bekas Penasihat Media Tun Dr Mahathir Mohamad itu, MPT sekarang mempunyai 25 orang ahli dengan 13 orang daripada ahli asal dan 12 orang lagi daripada kumpulan yang melompat.

Kadir merujuk 12 orang ini sebagai ‘muhajirin’ walaupun, katanya, label itu tidak tepat sama sekali.

Ia kerana, mereka ini melompat masuk Bersatu setelah UMNO kalah dalam Pilihan Raya 2018.

Dalam kalangan ahli MPT asal hanya enam orang berjaya mempertahankan kedudukan, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, dalam keputusan MPT itu, ramai calon dalam kalangan pejuang asal tewas dan digantikan oleh bekas ahli UMNO yang melompat parti selepas parti itu kalah dalam PRU 2018.

”Kesimpulannya, MPT Bersatu bagi tempoh 2019-2021 ini lebih “umno” daripada MPT asal atau MPT penaja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pada masa sama, Bersatu kini bukan lagi sebuah parti pribumi/Bumiputera dan bertukar menjadi parti pelbagai bangsa seperti PKR, DAP, Pas dan Gerakan. – MalaysiaGazette