Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah (tengah) bergambar bersama penerima surat tawaran DKD pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Kandungan Digital (DKD), Cek Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) dan Sesi Menandatangani MOU Finas, MBOT dan UiTM di Dewan Tun Hussien Onn, PWTC, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Penggiat industri kreatif dalam sektor perfileman perlu mempunyai akreditasi kepakaran masing-masing agar mereka dapat memenuhi standard yang dikehendaki.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, akreditasi yang diberikan oleh badan profesional amat penting bukan sahaja untuk mengiktiraf kepakaran serta pengalaman para penggiat, malah ia dapat memastikan kualiti perfileman negara dapat ditingkatkan dan seterusnya melindungi industri tempatan.

“Ini mustahak untuk kita memperkasa latihan-latihan berkaitan dunia perfileman, yang kedua untuk akreditasi kepada dunia perfileman dan ketiga untuk menggalakkan self assesment dalam kalangan penggiat dunia filem,” katanya.

“Akreditasi bermatlamat tingkatkan kualiti dan bukannya perkara akademik tapi soal bagaimana nak memperkasa latihan sedia ada, melindungi industri tempatan termasuk semua yang terlibat, kru dan sebagainya dan nak mengalakkan self assesment sesama pemain industri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Kandungan Digital (DKD), Cek Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) dan Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), di sini hari ini.

Katanya, pemeteraian MoU antara ketiga-tiga institusi dan badan itu hari ini dilihat mampu menjadi batu loncatan terutamanya dalam merealisasikan visi utama menjadi pengiktiraf utama bagi penggiat industri kreatif khususnya sektor perfileman negara.

Mengulas lanjut beliau berkata, langkah itu juga membabitkan kerjasama yang akan memastikan pembangunan latihan akan diselenggara dengan tersusun serta menjadi pemantau bagi mewujudkan pangkalan data sistematik yang menyatukan pemain industri.

Katanya lagi, latihan yang disediakan oleh badan akreditasi juga mampu mempercepat proses peningkatan dan kebolehupayaan kerjaya dan kendiri individu.

Terdahulu, Saifuddin menyerahkan surat tawaran DKD yang diberikan FINAS berjumlah RM7.9 juta membabitkan 37 syarikat produksi dan 16 penerima dana mikro.

Selain itu beliau turut menyampaikan cek ITFC di bawah Skim Wajib Tayang berjumlah RM1.8 juta kepada 14 syarikat yang telah menerbitkan 16 filem terdiri daripada pelbagai genre.

Pemberian dana ini adalah berdasarkan Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) yang dilancarkan pada 28 Julai lalu. – MalaysiaGazette