Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengesahkan belum dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan Datuk Seri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengenai kelulusan rundingan terus membabitkan 101 projek bernilai RM6.61 bilion.

Katanya,  SPRM perlu menghubungi Kementerian Kewangan kerana segala maklumat mengenai pendedahan Tengku Zafrul itu membabitkan kementerian berkenaan.

“Tidak ada (belum dihubungi SPRM). Kalau mereka ada hubungi saya, pihak SPRM kena hubungi Kementerian Kewangan dahulu. Mereka (Kementerian Kewangan) ada senarai projek-projek itu. Saya tidak ada, saya bukan menteri lagi.

“Yang ada cuma menteri sekarang. Jadi takkan saya boleh umumkan projek-projek itu, mana saya ada senarai itu.

“Butiran tidak diberikan dalam apa-apa laporan. Hanya jumlah yang dinyatakan dalam laporan sedia ada.

“Dari segi projek-projek itu, mereka boleh memperolehi,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, pihaknya tidak ada masalah dengan kenyataan SPRM yang akan menjalankan siasatan menyeluruh 101 projek itu.

Ahli Parlimen Bagan itu turut menggesa agar SPRM menyiasat projek seumpama itu semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Kajian SPRM tidak harus diperalatkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menghalang prinsip enggan mendedahkan senarai penuh projek dan syarikat penerimanya.

“Pada masa yang sama, kami risau akan wujud masalah ‘antara dua darjat’ yang mana siasatan SPRM hanya dijalankan ke atas projek rundingan terus PH dan tidak bagi projek  pemerintahan BN dan PN.

“Kegagalan SPRM membuka kajian ke atas projek runding terus kerajaan BN dan PN boleh menimbulkan persepsi negatif antara dua darjat atau ‘double standard’,” katanya lagi.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Menteri Kewangan, Tengku Zafrul mendedahkan butiran terperinci mengenai 101 projek yang dikatakan telah diperoleh secara rundingan terus.

Tegasnya, projek rundingan terus adalah dibenarkan namun pendedahan Tengku Zafrul di Dewan Rakyat semalam seolah-olah perkara tersebut adalah satu kesalahan. – MalaysiaGazette