KUALA LUMPUR – Sebuah stor di Jalan Tampin, Senawang yang disyaki digunakan sebagai tempat memindahkan gas cecair petroleum (LPG) bersubsidi ke dalam tong industri beroperasi sejak empat bulan yang lalu diserbu dalam satu operasi sepasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 18 Ogos lalu.

Ketika serbuan di premis yang tidak mempunyai nama itu, KPDNHEP menemui dan menyita 61 tong 50kg berisi LPG untuk kegunaan industri, 90 tong 50 Kg (kosong) untuk kegunaan industri , 625 tong berisi lpg 14kg dan 375 tong kosong 14 kg kegunaan domestik.

Turut ditahan seorang lelaki tempatan berbangsa India berumur 43 tahun dan tiga lelaki warganegara Myanmar berumur 22 hingga 37 tahun yang berada di premis bagi membantu siasatan.

“Turut disita ialah sebuah lori treler had muatan 40 tan yang pada masa tersebut dipenuhi dengan tong gas LPG 14Kg berserta motor lori 5 tan yang dipenuhi dengan tong gas LPG 50Kg . Turut ditemui peralatan-peralatan yang digunakan untuk pemindahan gas LPG seperti hos paip, alat timbang dan beberapa bungkus plastik ais bagi tujuan aktiviti memproses pemindahan gas LPG,” kata KPDNHEP menerusi kenyataan.

Menurut kenyataan itu, semua barangan dianggarkan berjumlah dianggarkan bernilai RM148,572.00 yang dirampas akan digunakan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah tiga Seksyen iaitu 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 membabitkan aktiviti mengilang LPG tanpa lesen sah.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan, apa-apa barang kawalan disimpan dimana-mana premis selain dari premis yang dilesenkan atau premis yang dibenarkan oleh pengawal.

Akhir sekali disiasat di bawah Peraturan 9 (2), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana pemborong menjual barang kawalan kepada orang atau pihak yang tidak mempunyai lesen atau kebenaran bertulis daripada pengawal.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1juta  bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi syarikat, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3 juta. – MalaysiaGazette