Datuk Abdul Ghani Salleh. foto FAREEZ FADZIL, 28 OGOS 2020.

TANJUNG MALIM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap 85 peratus pengundi akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, manakala keputusan PRK itu dijangka diumumkan sebelum pukul 9 malam, esok.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, walaupun pihaknya pernah menyasarkan sebanyak 70 peratus, kenaikan jumlah pengundi itu berdasarkan beberapa faktor.

Jelas beliau, ini suasana kempen PRK DUN Slim itu berada dalam keadaan tenang, tiada kesesakan trafik dan melibatkan masyarat kampung.

“Saya berharap naik, PRK sepatutnya 85 peratus di sini kerana keadaannya aman, tidak sesak, masyarakat kampung dan banyak pengundi masyarakat Felda.

“Saya berharap keputusan awal kalau boleh sebelum pukul 9 sudah selesai, jika tidak ada kacau ganggu dan bantahan,” katanya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh (kiri) ketika hadir pada sidang media selepas persiapan akhir Pusat Penjumlahan Undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Majlis Dewan Tanjung Malim, Tanjung Malim, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 28 OGOS 2020.

Beliau berkata demikian sidang media di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Ghani menasihati pengundi mematuhi peraturan sedia ada agar keselamatan mereka dan keluarga terjamin kerana PRK ini masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Saya tidak mahu pengundi yang datang mengundi membawa balik masalah kepada keluarga masing-masing.

“Ambil waktu mengundi yang sesuai kerana ada tambahan waktu lagi pada PRK ini yang telah digazettekan.

“Ini kerana waktu mengundi sebelum ini kebiasaan 5 petang, jadi tidak perlu berpusu-pusu dan ramai sangat di pusat pengundi,” katanya.

Pada PRK DUN Slim, Barisan Nasional (BN) pertaruhkan anak tempatan Slim, Mohd Zaidi Aziz, 43, yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim bagi mempertahan kerusi berkenaan, manakala peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, bertanding atas tiket Bebas mewakili kem bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad manaka seorang lagi calon Bebas ialah S. Santharasekaran, 42. – MalaysiaGazette

Petugas membuat kerja-kerja sanitasi pada persiapan akhir Pusat Penjumlahan Undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Majlis Dewan Tanjung Malim, Tanjung Malim, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 28 OGOS 2020.