KUALA LUMPUR – Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) mengumumkan pulangan dividen sebanyak 11 peratus bersamaan RM 4.25 Juta kepada 222,298 anggotanya sekaligus mengatasi pencapaian pemberian dividen sebanyak 8 peratus pada tahun 2018.

Pembayaran dividen ini adalah berdasarkan modal syer bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, yang mana dividen bersih yang diterima oleh setiap anggota adalah berjumlah 11 peratus selepas ditolak pemotongan zakat berjumlah 8.5 peratus.

Keupayaan Koop Sahabat untuk membayar dividen bersih berjumlah 11 peratus banyak dibantu oleh aktiviti perniagaan Ar-Rahnu yang telah menyumbang pendapatan bersih sebanyak RM6.7 juta berbanding RM4.8 juta pada tahun 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Koop Sahabat, Mazri Mahmood berkata, pemberian dividen ini jelas membuktikan Koop Sahabat berkemampuan memberikan pulangan yang tinggi secara konsisten kepada anggotanya berkat usaha berterusan pihak Koop Sahabat melabur dalam sektor perniagaan bernilai tinggi yang menjamin keuntungan kepada ahli-ahlinya terutama dalam golongan B40.

”Koop Sahabat sentiasa berusaha membantu anggotanya dalam pemberian dividen dan penerimanya adalah dalam kalangan usahawan B40.

”Disamping dapat membantu meringankan sedikit beban kewangan kepada anggotanya, dividen diberikan diharap dapat menjadi rangsangan kepada golongan terbabit bagi memajukan perniagaan yang diceburi” katanya semasa Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali ke-7 Koop Sahabat.

Beliau menambah, Pelan Strategik Koop Sahabat bagi tempoh 2020 – 2024 yang direncanakan meliputi tadbir urus korporat, integriti dalam penyampaian perkhidmatan dan penerokaan peluang-peluang perniagaan dan pelaburan baru bernilai tinggi yang mampu memberikan keuntungan kepada Koop Sahabat.

Bagi mengukuhkan halatuju dan mencapai sasaran dalam tempoh lima tahun akan datang, Koop Sahabat telah merangka Pelan Strategik 2020 – 2024 yang akan dilaksanakan dengan penuh fokus dan bersungguh-sungguh terutama selepas pasca pandemic Covid-19.

“Ini kerana koop sahabat memikul tanggungjawab penting dalam mengurus dan mentadbir dana yang datangnya dari 221,000 anggota di seluruh negara yang
meletakkan sepenuh kepercayaan kepada koop sahabat untuk diuruskan sebaiknya dan sudah tentu jika pelan strategik 2020 – 2024 koop sahabat yang kita rancang dapat di realisasikan dengan baik pelbagai kejayaan demi kejayaan dapat dilakar pada masa akan
datang” tambah Mazri.

Koop Sahabat memiliki perniagaan berskala besar seperti perhotelan, perladangan, kilang pembuatan makanan melalui pengumpulan modal anggota di dalam koperasi yang semuanya milik Sahabat AIM.

Tahun lalu, buat pertama kalinya AIM menerima dividen daripada anak syarikat tunggalnya, AIM Sdn Bhd berjumlah RM 1.18 juta. – MalaysiaGazette