Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali (tengah) bersama Ketua Negara Airbus Malaysia, Raymond Lim (dua kiri) dan Pengurus Besar Sepang Aircraft Engineering, Neil Pickering (kiri) serta yang lain hadir bagi melakukan lawatan kerja ke Sepang Aircraft Engineering dan Airbus Malaysia Customer Services Sdn. Bhd di Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 03 SEPTEMBER 2020.

SEPANG- Sasaran pelaburan negara tahun ini sebanyak RM58 bilion  tidak mustahil dicapai berdasarkan perkembangan ekonomi semasa pada waktu ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara ( MTEN) Prof.Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, berdasarkan data daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), jumlah terkini pelaburan telah mencapai 60 peratus daripada sasaran.

Situasi itu juga terbukti apabila  sektor pembuatan turut mencatat peningkatan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan dengan lebih 90 permohonan lesen setakat ini.

“Terdapat tanda-tanda pemulihan ekonomi yang memberangsangkan. Walaupun Covid-19 tidak akan selesai tahun ini tapi tanda-tanda baik ada terutama sektor permohonan lesen dalam sektor pembuatan meningkat. Pada April lalu 16 permohonan hari ini sekitar 90 permohonan lesen.

“Di sini ada bentuk keyakinan pelabur untuk terlibat dan cenderung untuk kembali aktiviti perniagaan mereka,” katanya.

Noor Azlan berkata demikian selepas lawatan kerja di Sepang Aircraft Engineering hari ini bagi meninjau sendiri sektor pembuatan berlangsung pada waktu ini dan kekangan yang dihadapi sektor berkenaan akibat Covid-19.

Secara tidak langsung menurutnya, perkembangan posotif di sektor pembuatan akan mewujudkan peluang pekerjaan.

Petanda lain yang dianggapnya menggembirakan apabila  sebanyak 11 peratus daripada 500 syarikat yang ditemubual memaklumkan pihaknya kini mencapai fasa pemulihan perniagaan selepas terjejas akibat Covid-19 manakala lapan peratus berjaya pulih sepenuhnya.

Terdahulu beliau berkata, antara kekangan dan kesan yang dihadapi oleh sektor pembuatan akibat Covid-19 yang membawa kepada beberapa langkah ketat diambil oleh kerajaan adalah tidak dapat penyelenggara kapal terbang yang telah disekat sebelum ini bukan sahaja ke luar malah dalam negara.

Sekatan sempadan juga mengakibatkan tenaga profesional dari luar negara yang dalam sektor pembuatan tidak dapat kembali berkhidmat di negara ini sehingga ke hari ini.

Perintah Kawalan Pergerakan beberapa bulan yang lalu juga ujarnya telah mengakibatkan  operasi sektor pembuatan tergendala.

Bagaimanapun  Noor Azlan juga memuji cara sektor yang mengadaptasikan norma baharu dalam operasi bekerja apabila melaksanakan beberapa perubahan positif demi memastikan terus kekal.

Antara perubahan yang dilakukan sektor pembuatan melibatkan perkapalan pada hari ini adalah pelaksanaan automasi dan pendigitalan yang bukan sahaja menjadi solusi tetapi menjadi salah satu sumbangan jaminan untuk kekal relevan dalam industri.

Transformasi berkenaan disifatkannya sebagai perubahan landskap yang kekal sifatnya kini mengikut arus masa.

“Tentang bagaimana sektor pembuatan respon kepada krisis ini. Ada yang mengubah sistem pengurusan mereka. Bekerja di rumah dengan pendigitalan dan teknologi automasi yang digunakan,” kata Noor Azlan lagi.-MalaysiaGazette