PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUANTAN – Tiga termasuk seorang wanita cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebuah lori di Jalan Kuantan-Maran berhampiran Kampung Paya Bungor di sini, semasa melarikan diri daripada pasukan polis Peronda Lebuh Raya (EMPV) Bukit Aman, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata suspek berusia antara 32 hingga 21 tahun itu dipercayai bertindak demikian kerana kereta Proton Satria yang dinaiki mereka dilaporkan dicuri di Kuala Lumpur.

Katanya, kejadian bermula di Plaza Tol Sri Jaya, Maran dekat sini, apabila anggota EMPV yang membuat pemeriksaan di plaza tol itu melihat kereta dinaiki suspek memecut laju menuju Lebuhraya Pantai Timur 1 arah Kuala Lumpur.

“Kereta itu kemudiannya berpatah balik secara menentang arus dan masuk semula ke plaza tol tersebut sebelum keluar ke Jalan Kuantan-Maran menghala ke arah Kuantan.

“EMPV terlibat terus mengejar kereta suspek sebelum mereka terbabas dan melanggar sebuah lori dari arah bertentangan menyebabkan kenderaan itu berpusing sebelum turut melanggar kereta EMPV berkenaan,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata semua suspek cedera di kepala dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini, untuk rawatan manakala dua anggota EMPV serta pemandu lori tidak cedera.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA